SHAH ALAM – Selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa tidak membenarkan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menangguhkan hukuman penjara selama lima tahun kerana mengabaikan kanak-kanak autisme itu, suaminya memberi reaksi ringkas, "mahkamah terbaik".Zaim Ikhwan Zahari, 30, kemudiannya beredar dari mahkamah bersama ahli keluarga yang lain termasuk ibu dan bapa, Zahari Mohd Reba, 57.Ketika didekati pihak media, datuk kepada Zayn Rayyan itu juga mengambil langkah sama dengan memberitahu "tiada komen".Dalam prosiding berkenaan, harapan Ismanira untuk pulang ke pangkuan keluarga tidak kesampaian apabila Hakim Datuk Aslam Zainuddin menolak permohonannya dengan alasan tiada keadaan khas atau istimewa untuk membenarkan permohonan tersebut.Mendengar keputusan itu, Ismanira yang memakai pelitup muka menundukkan kepala, malah suaminya, Zaim Ikhwan, dan ahli keluarga kelihatan kecewa.Dalam kes ini, pihak pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali dan Ahmad Iqbal Azman, manakala perayu diwakili peguam-peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokan harinya.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.Pada 31 Oktober, Hakim Dr Syahliza Warnoh mendapati ibu kepada dua anak itu bersalah dan menghukumnya penjara selama lima tahun.Beliau memerintahkan wanita itu ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.Katanya, tertuduh gagal menunjukkan faktor keistimewaan yang membolehkannya menangguhkan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi.Pegawai Jabatan Penjara membawa Ismanira yang memakai baju kurung berwarna hijau corak daun ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa.