Lapan ADUN Perlis didakwa tidak lagi sokong MB

KANGAR - Kedudukan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli didakwa semakin tertekan apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilaporkan tidak lagi menyokong kepimpinannya, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik di negeri ini.Menurut sumber, tindakan berkenaan dikatakan dibuat melalui akuan bersumpah (Statutory Declaration, SD) yang telah dikemukakan kepada pihak Istana, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kestabilan kerajaan negeri Perlis ketika ini.Menurutnya, sebahagian besar ADUN telah menyatakan pendirian masing-masing berhubung isu berkenaan."Perkara ini akan bergantung kepada keputusan Mohd Shukri sama ada memilih untuk meletakkan jawatan atau sebaliknya," katanya.Difahamkan, perkembangan tersebut berkait rapat dengan kemelut dalaman berpanjangan dalam Perikatan Nasional (PN) Perlis, termasuk isu hubungan antara Menteri Besar dan beberapa wakil rakyat dalam kalangan komponen parti kerajaan negeri.Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Mohd Shukri mahupun kepimpinan PN Perlis bagi mengesahkan atau menafikan dakwaan tersebut.Walau bagaimanapun, Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali pada Jumaat lalu mengeluarkan kenyataan menyeru seluruh ahli Pas negeri ini memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Mohd Shukri sebagai Menteri Besar.Dalam perkembangan berasingan, Mohd Shukri pada Isnin lalu dilaporkan dikejarkan ke sebuah hospital di ibu negara bagi menjalani pemeriksaan lanjut selepas pulang daripada urusan luar negara.Beliau dilaporkan mengadu sakit dada dan kini berada dalam keadaan stabil.Sebelum ini, gesaan sama telah dibuat oleh ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dari Bersatu yang pernah secara terbuka mendesak Menteri Besar Perlis meletakkan jawatan pada 2023.Beliau mendakwa Mohd Shukri tidak melantik beliau sebagai Exco walaupun digalakkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.Pada 2024 pula, terdapat spekulasi di media sosial dan beberapa laporan yang mendakwa Mohd Shukri diminta meletakkan jawatan, namun Pas negeri menafikannya sebagai khabar angin.