Tolak adendum pengampunan Najib risiko cabar YDPA, Raja-Raja - Pas

SHAH ALAM – Sebarang usaha atau percubaan untuk menempatkan kuasa dan budi bicara pengampunan Diraja di bawah kawalan kehakiman atau birokrasi berpotensi besar mencabul ketetapan Perlembagaan mengenai perkara itu.Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara yang dihadapinya menerusi tahanan di rumah, berikutan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.Menurutnya, sebarang keputusan, arahan atau petunjuk yang dibuat oleh YDPA dalam menjalankan kuasa budi bicaranya di bawah peruntukan Perlembagaan adalah jelas dan berada dalam kerangka undang-undang tertinggi negara."Justeru, sebarang kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan yang bertangguh atau pengakuan yang berpilih-pilih tidak boleh sama sekali digunakan untuk meneutralkan, menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan Diraja."Perbuatan sedemikian hanya akan menghakis dan merendahkan wibawa, kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan."Oleh itu, Pas dengan tegas berpandangan bahawa isu Adendum yang merupakan sebahagian daripada keputusan langsung YDPA ke-16 mestilah diterima, dilaksanakan dan diberikan kuat kuasa undang-undang secara serta-merta tanpa bantahan kehakiman atau pentadbiran," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memaklumkan bahawa tahanan rumah seperti yang dipohon oleh Najib tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme itu dijalankan di negara ini.Hakim Alice Loke Yee Ching berkata demikian ketika menolak permohonan Najib, 72, untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Addendum supaya beliau dapat menjalani baki hukuman penjara di rumah.Tambah Takiyuddin, perlu ditegaskan bahawa prinsip-prinsip Perlembagaan tidak boleh sama sekali dilaksanakan secara selektif mengikut keperluan politik atau individu tertentu.Jelasnya, Perlembagaan tidak menerima sebarang bentuk hierarki atau kelas dalam kalangan rakyat, khususnya dalam pelaksanaan kuasa pengampunan Diraja."Kewujudan persepsi berlakunya layanan yang tidak setara pastinya akan merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem pemerintahan yang terbina berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang."Berdasarkan prinsip-prinsip tadi, maka Pas menyokong penuh hak Najib untuk memfailkan rayuan kesnya ke mahkamah lebih tinggi, selaras dengan hak rayuan yang merupakan jaminan serta perlindungan asasi setiap individu dan wajib dihormati serta dibenarkan berjalan secara bebas, adil dan tanpa prejudis."Akhirnya, Pas menggesa semua cabang kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan supaya bertindak dengan berani, telus dan setia berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan, agar keadilan dapat ditegakkan secara konsisten dan kehormatan serta kedaulatan YDPA dan Raja-Raja terus terpelihara," ujarnya.