KUALA LUMPUR — Gangguan sementara melibatkan sistem pemprosesan penumpang global yang digunakan oleh pelbagai syarikat penerbangan di seluruh dunia kini menjejaskan proses daftar masuk dan menaiki pesawat di lapangan terbang di Malaysia.Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan memaklumkan gangguan tersebut berpotensi menjejaskan proses pengendalian penumpang, sekali gus mendorong syarikat-syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang kendaliannya mengaktifkan prosedur luar jangka."Situasi di semua lapangan terbang kami sedang dipantau dan diuruskan dengan rapi, dengan keselamatan serta keselesaan penumpang kekal sebagai keutamaan utama," menurut kenyataan itu.