JOHOR BAHRU – UMNO Johor menyifatkan sikap segelintir pemimpin DAP, khususnya Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin sebagai keterlaluan dan tidak matang apabila menjadikan isu titah adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai bahan sindiran di media sosial.Setiausaha UMNO Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, sekiranya DAP benar-benar menghormati institusi dan semangat Kerajaan Perpaduan mereka sepatutnya tidak menunjukkan kelakuan yang tidak sensitif terhadap perasaan rakan gabungan dalam kerajaan."Ini bukan soal politik murahan, ini soal adab dan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada kerajaan."Isu berkaitan mahkamah bukan pentas untuk mencari ‘likes’, ‘shares’ atau populariti segera."Tetapi malangnya, itulah yang kita lihat isu serius dijadikan konten, seolah-olah penderitaan, proses undang-undang dan emosi rakyat boleh dijadikan bahan sindiran politik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Untuk rekod, Bee Yin pada Isnin dilaporkan memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung Titah Adendum yang bertujuan membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.Dalam hantaran tersebut, Bee Yin dilaporkan menulis: "Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini."Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari 2024.Sementara itu, Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau menegaskan, UMNO Johor ingin bertanya secara terbuka mengapa pemimpin DAP begitu galak bercakap soal menghormati undang-undang, namun pada masa sama mempermainkan proses undang-undang yang masih berjalan.Katanya lagi, pendekatan politik sedemikian bukan sahaja boleh dilabel sebagai ‘murahan’, malah turut memualkan rakyat."Ini namanya cakap tak serupa bikin. Lebih kelakar apabila mereka yang talian hayat politiknya makin tidak relevan, tiba-tiba menjadi paling bising; tetapi apabila sokongan rakyat makin menyusut, isu mahkamah dijadikan pelampung untuk kekal timbul."Jika DAP betul-betul ikhlas mahu mempertahankan Kerajaan Perpaduan, maka hentikanlah budaya menyindir, memperlekeh dan bermain api dengan isu-isu sensitif."Jangan rosakkan kerjasama hanya kerana mahu kekal relevan di mata segelintir penyokong sendiri. UMNO tidak perlu cari populariti murahan. Kami fokus kerja, jaga rakyat dan bina kestabilan. Yang lain itu, biarlah rakyat nilai – siapa yang matang, siapa yang sekadar bising," ujarnya.