Polis bongkar makmal dadah haram dalam kebun durian, rampas 1.2 tan syabu

BALIK PULAU - Polis membongkar sebuah makmal dadah haram yang beroperasi di kawasan kebun durian di Telok Bahang, di sini.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak polis turut merampas dadah jenis syabu seberat kira-kira 1.2 tan bernilai hampir RM38 juta.Menurutnya, kejayaan itu hasil risikan berterusan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Polis Pulau Pinang menerusi beberapa siri serbuan di negeri ini pada Sabtu dan Ahad lalu.Ujarnya, sindiket dadah antarabangsa itu dipercayai diketuai individu dari luar negara yang menjadikan Malaysia sebagai hab memproses dadah sebelum diedarkan ke pasaran luar negara dan tempatan."Berdasarkan maklumat risikan, polis menahan tiga lelaki warga asing berusia antara 32 hingga 38 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ahli kimia bagi memproses dadah berkenaan."Serbuan pertama dijalankan di sebuah premis di sekitar Jalan Gurdwara di George Town, dan polis menahan tiga lelaki warga asing."Seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai koordinator sindiket di sini cuba melarikan diri ketika serbuan namun terjatuh dari tingkat lima dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.Hussein berkata, pemeriksaan di premis berkenaan membawa kepada rampasan serbuk putih disyaki syabu seberat kira-kira 26 kilogram serta pelbagai peralatan pembungkusan dadah.Katanya, dalam serbuan kedua di sebuah premis perindustrian di Taman Windmill, Jalan Gurdwara pula menemukan serbuk disyaki syabu seberat 474 kilogram."Premis tersebut dipercayai dijadikan stor penyimpanan dan lokasi pembungkusan semula."Serbuan ketiga yang dilakukan di dalam kebun durian seluas kira-kira 32 hektar di Telok Bahang menemukan serbuk syabu seberat 60 kilogram, ketulan kristal syabu seberat 54 kilogram serta cecair mengandungi dadah dianggarkan seberat 574 kilogram," jelasnya.Ujarnya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Ogos lalu dan dadah yang diproses pernah dihantar sebanyak tujuh bungkusan ke pasaran antarabangsa termasuk Australia dan Hong Kong."Modus operandi mereka adalah menyewa kawasan kebun durian yang terpencil, memasang pagar berlapis serta kamera litar tertutup (CCTV), selain menyambung bekalan elektrik secara haram."Siasatan mendapati dadah yang dihasilkan bukan sahaja dalam bentuk serbuk, malah dilarutkan ke dalam fabrik atau kepingan kanvas sebelum dieksport bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," tambahnya.Beliau berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan menyewa kawasan kebun durian terbabit dengan kadar RM80,000 setahun.Katanya, prekursor dan barangan untuk memproses dadah yang digunakan sindiket berkenaan juga dibawa masuk dari luar negara.Mengulas lanjut, Hussein berkata, ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek positif methamphetamine malah semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan dadah di negara asal, termasuk seorang yang pernah dipenjara selama tujuh tahun.Jelasnya, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Disember ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.Selain itu, tambahnya, polis turut menyita harta bernilai kira-kira RM181,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger, Toyota Vios, sebuah forklift Toyota dan sebuah ATV.