SPRM mulakan siasatan projek melibatkan Tentera Darat

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek yang melibatkan Tentera Darat dari tahun 2023 hingga kini.Menurut sumber, SPRM mengambil maklum dakwaan yang dibangkitkan oleh seorang aktivis berhubung dakwaan aliran masuk wang ke dalam akaun bank seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)."Kira-kira jam 11.30 pagi hari ini (Selasa) pegawai SPRM telah hadir ke MINDEF bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek yang melibatkan Tentera Darat dari tahun 2023 hingga kini."Fokus siasatan tertumpu kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat," katanya pada Selasa.Tambah sumber, transaksi kewangan mencurigakan yang dikaitkan dengan individu-individu tertentu yang dinamakan dalam dakwaan tersebut juga akan diteliti.Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan seorang pegawai kanan terbabit.Beliau menegaskan bahawa semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional, berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.Sebelum itu, aktivis Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard memaklumkan akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Khamis.Chegubard memberitahu akan menyerahkan maklumat berkaitan dakwaan rasuah membabitkan seorang pegawai kanan terbabit.Sinar Harian pada Isnin melaporkan Chegubard telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuat laporan berkenaan dakwaan terbabit.