KUALA LUMPUR - Datuk Seri Syed Ali Alhabshee secara sinis menggambarkan senario politik semasa sebagai semakin sarat dengan lakonan, kepalsuan, dan keberanian yang lahir daripada ketakutan kehilangan kuasa serta kemewahan.Menurut bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, ketakutan untuk bercanggah dengan arus menyebabkan segelintir pemimpin politik memilih untuk berdiam diri, sekali gus mengunci suara walaupun berdepan isu yang menyentuh maruah bangsa."Lakon layar politik memerlukan skrip keberanian biarpun dibayangi ketakutan. Takut hilang kuasa khuatir terlucut kemewahan jika bercanggah arus," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.Syed Ali menambah apabila mulut pemimpin dikunci, suara yang terhasil hanyalah dengusan penuh pembohongan dan dusta, sementara penghinaan terhadap maruah bangsa dibiarkan tanpa sebarang rasa resah.Beliau juga mendakwa 'kemarahan' dan jeritan tersebut hakikatnya hanyalah pementasan politik semata-mata, bersifat sementara serta tidak berterusan."Itu semua sekadar pementasan opera wayang Cina... kosong. Menari tanpa gendang bila setiap kali maruah diri tertawakan orang. Mengamuk, memberontak dan mengaum sekadar untuk seminggu dua."Bila digosok tulang belakang, sedawa penuh lalu hilang amarahnya," jelasnya lagi.Menurut beliau, dalam kitaran kuasa yang terus berputar, golongan bawahan hanya mampu mengeluh, manakala golongan atasan terus ligat memusingkan kuasa demi kelangsungan nyawa politik masing-masing."Putaran kuasa terus berpusing dan dipusing selagi nyawa politik masih ada. Begini dan begitulah nasib bangsa, bila rambut ditarik orang!" ujar Syed Ali. - Awani