Pergolakan politik PN Perlis: PH sedia hadapi pembubaran DUN

KANGAR - Pakatan Harapan (PH) Perlis memandang serius pergolakan politik yang sedang melanda negeri ini dan menegaskan kesediaan mereka menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).Pengerusi PH Perlis, Noor Amin Ahmad berkata, situasi penarikan sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bukan sahaja mencetuskan ketidakstabilan pentadbiran negeri malah memberi tekanan kepada institusi Raja Berperlembagaan dan kesejahteraan rakyat.Menurutnya, pengalaman mentadbir dan kerjasama kukuh bersama parti-parti Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri menjadikan PH sedia tampil sebagai alternatif yang diyakini rakyat"Penarikan sokongan dan percaturan politik yang tidak matang ini berpotensi mengheret Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke dalam krisis yang sepatutnya diselesaikan secara berhemah di peringkat dalaman Perikatan Nasional (PN)."PH Perlis akan terus memantau perkembangan semasa dengan penuh tanggungjawab dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran DUN," katanya dalam satu kenyataan.Jelas beliau, rakyat Perlis mengharapkan kerajaan negeri yang matang, stabil dan benar-benar bekerja untuk rakyat, bukannya terperangkap dalam konflik dalaman dan politik berterusan.Dakwanya, isu pengurusan kerajaan negeri, termasuk kelemahan dalam menangani banjir baru-baru ini, membuktikan perlunya pentadbiran yang cekap dan berkesan.Media sebelum ini melaporkan bahawa lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas telah menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) kepada Raja Perlis bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mohd Shukri.Walaubagaimanapun, sehingga kini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak PN berhubung perkembangan tersebut manakala Mohd Shukri dilaporkan menjalani pemeriksaan lanjut di hospital selepas mengadu sakit dada, dan kini berada dalam keadaan stabil.