25 kontena e-waste bernilai RM3 juta dirampas

PELABUHAN KLANG – Taktik penyeludupan sisa elektronik (e-waste) bernilai RM3 juta termasuk duti dan cukai, melalui Zon Bebas Pelabuhan Utara di sini terbongkar selepas pihak terbabit membuat pengisytiharan palsu kononnya sebagai barangan plastik.Tindakan itu diambil oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor dengan kerjasama National Targeting Centre (NTC) JKDM pada 8 Oktober lalu.Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, penahanan dibuat ke atas 25 buah kontena.Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kontena-kontena tersebut menemui komoditi e-waste yang dipercayai telah diimport tanpa permit sah."Kuantiti keseluruhan dagangan e-waste yang terlibat adalah sebanyak 556,800 kilogram."Dimaklumkan, sebahagian kontena ini pernah diperiksa oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Johor bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor pada awal bulan Jun 2025, dan JAS Johor telah mengarahkan dagangan tersebut dihantar semula ke negara asal."Namun, ia telah ditransit ke sebuah negara jiran sebelum dihantar semula ke Pelabuhan Klang pada 25 Ogos 2025 oleh pihak ejen perkapalan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, pengimportan e-waste tertakluk kepada surat kelulusan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JAS sebagaimana digariskan di bawah Butiran 54, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.Tambahnya, e-waste dikategorikan sebagai bahan buangan yang memerlukan pertimbangan khusus di bawah Basel Convention on the Control of Transboundary Movement of Hazardous Wastes and Their Disposals, yang menetapkan bahawa pengimport perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada JAS untuk mengimport buangan terjadual kod SW110."Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan dan Seksyen 133(1)(a) akta sama iaitu membuat pengikraran tidak benar," ujarnya.Tegas beliau, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat."JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi Pejabat Kastam terdekat di semua negeri," katanya lagi.