KLANG - Pistol tiruan, senjata tajam dan mesin bitcoin antara barang kes bernilai RM1.6 juta yang dilupuskan polis pada Selasa.Kesemua 34,120 barang kes melibatkan 797 kertas siasatan bagi tempoh tahun 2017 hingga 2025 itu telah mendapat kelulusan daripada Timbalan Pendakwa Raya.Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata, berdasarkan statistik, 2,945 unit ialah barang kes perjudian (443 kertas siasatan), 28,493 barang kes kontraban (55 kertas siasatan) dan 1,501 barang kes am (274 kertas siasatan).Menurutnya, selebihnya membabitkan 1,181 barang kes bitcoin (25 kertas siasatan) dan wang tunai RM296,485.80 (533 kertas siasatan)."Bagi barang kes bitcoin, pelupusan barang kes bitcoin dilupuskan dengan cara menghancurkan mesin-mesin berkenaan secara manual, manakala minuman keras dan cecair diasingkan secara kimia dengan kaedah pelupusan secara pemeruapan dan botol serta tin akan dikitar semua."Barang kes rokok pula akan dibakar di dalam kebuk pembakaran dan barang kes berharga berbentuk wang tunai diserahkan kepada Perbendaharaan Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di Balai Polis Kapar di sini pada Selasa.Mengulas mengenai rampasan tiga pucuk pistol angin dan tiruan selain beberapa bilah senjata tajam, Mohd Rahimi berkata, ia melibatkan kes jenayah samun berkumpulan dan individu.Tambah beliau, jenayah kekerasan yang direkodkan bagi tempoh terbabit antaranya samun dan curi."Modus operandi jenayah berlaku tepi jalan selain menyasarkan tapak projek pembinaan. Namun tindakan telah diambil polis," ujarnya.