SHAH ALAM - Pertubuhan Hati Suci dengan kerjasama Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) melancarkan kempen ‘Iftar 4 Gaza’ dan mengajak orang ramai untuk menghulurkan sumbangan minimum RM1 bagi membantu warga Gaza, Palestin yang bakal menyambut Ramadan serta Syawal tidak lama lagi.Pengerusinya, Mohammad Zaidi Zainuddin berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM2 juta sahaja untuk menjayakan projek yang memfokuskan sumbangan bantuan juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.Menurut aktivis sosial itu, pertubuhan memberi jaminan 100 peratus bahawa setiap bantuan akan sampai ke tangan penerima melalui kaedah logistik guguran udara atau ‘air drop’.Jelasnya, pendekatan sedemikian diambil sebagai solusi taktikal bagi melepasi sekatan laluan darat, sekali gus memastikan bantuan sampai dengan pantas, selamat dan telus demi kelangsungan hidup saudara sesama Islam di sana."Pihak kami telah berhubung dengan wakil Kedutaan Malaysia di Jordan dan menghantar makanan melalui Jordan secara ‘air drop’. Segala barangan keperluan dibeli di sana, malah kami juga sudah mengenal pasti pembekal."Sebelum pelancaran program, kami telah menjalankan kerja lapangan tentang bagaimana gerak kerja dan operasi akan berjalan nanti. Justeru, kami memohon restu semua pihak supaya mendoakan agar projek ini dipermudahkan dan dirahmati ALLAH SWT."Negara lain seperti Jordan, Indonesia, Singapura, Brunei, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Perancis dan lain-lain telah menghulurkan bantuan menggunakan kaedah ‘air drop’, Malaysia sahaja secara rasmi belum lagi," katanya.Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pelancaran projek ‘Iftar 4 Gaza’ dengan kerjasama Karangkraf di Studio F Sinar Harian di sini pada Selasa.Hadir sama, Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang yang mewakili Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ketua Sekretariat ‘Iftar 4 Gaza’, Hamdan Hashim dan barisan anggota Pertubuhan Hati Suci.Ditanya mengenai persoalan yang bakal timbul dari sudut kepercayaan masyarakat terhadap pertubuhan itu, Mohammad Zaidi memaklumkan bahawa pihaknya mengakui nama entiti tersebut masih baharu dan belum pernah didengari ramai.Bagaimanapun katanya, penderma tidak perlu khuatir soal kredibiliti, ketulenan dan ketelusan kerana pertubuhan tersebut merupakan NGO berdaftar serta mendapat pentauliahan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS)."Kami pertubuhan yang mengurus duit zakat di Selangor. Jadi, saya ingin tekankan bahawa kutipan tabung telah pun dibuka sejak semalam (1 Rejab) hingga akhir Syawal tahun depan."Selepas selesai memberi bantuan, kami akan menutup akaun bank ini yang dibuka semata-mata untuk kempen ‘Iftar 4 Gaza’, melakukan audit dan membentangkan laporan kewangan berserta jumlah kutipan dana dalam kenyataan media nanti."Ini jaminan ketelusan kami dalam mengendalikan projek dan memastikan bantuan 100 peratus sampai kepada golongan sasar. Jadi, saya mengajak semua umat Islam khususnya rakyat Malaysia untuk sama-sama menyumbang dana," ujarnya lagi.Kutipan dibuka sejak 1 Rejab hingga 29 Syawal 1447H, bersamaan 22 Disember hingga 18 April 2026.Derma kemanusiaan itu boleh disalurkan ke akaun Maybank 5624 7823 2717 (Pertubuhan Hati Suci) atau e-mel ke iftar4gaza1447h@gmail.com untuk pertanyaan lanjut.Pada 19 Disember lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan krisis kebuluran yang diisytiharkan di Genting Gaza pada Ogos lepas sudah mereda berdasarkan Laporan Inisiatif Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC).Laporan tersebut mengesahkan bahawa tiada lagi kawasan yang berdepan krisis kebuluran teruk, namun masih terdapat 1.6 juta penduduk Gaza yang diancam ketidakjaminan makanan, dijangka berlarutan hingga 15 April 2026.Malah, Oxford Committee for Famine Relief (OXFAM), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menyatakan bahawa 4,000 bungkus makanan yang dihantar terkandas di sempadan Gaza, ditolak kesemuanya oleh rejim Israel.