Isu SD ADUN Perlis: Bersatu, Pas belum beri pendirian rasmi

SHAH ALAM – Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) masih belum mengeluarkan sebarang pendirian rasmi berhubung dakwaan penyerahan Akuan Bersumpah (SD) oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.Dakwaan itu membabitkan penyerahan SD bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli sekali gus mencetuskan perhatian dan spekulasi dalam landskap politik negeri berkenaan.Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut kerana belum memperoleh maklumat lengkap daripada pihak berkaitan."Setakat ini, saya hanya mendapat maklumat daripada media," ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian bagi mengulas pendirian rasmi pimpinan Bersatu berhubung isu berkenaan, termasuk dakwaan wujud usaha menukar kepimpinan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.Dalam pada itu, usaha mendapatkan penjelasan daripada pimpinan Pas masih belum membuahkan hasil apabila beberapa pemimpinnya yang dihubungi termasuk Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak memberikan sebarang respons setakat ini.Media sebelum ini melaporkan bahawa lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas dikatakan telah menyerahkan SD kepada Raja Perlis bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mohd Shukri.Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung perkembangan tersebut, termasuk status sebenar dakwaan penyerahan SD itu serta langkah yang akan diambil bagi memastikan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri Perlis.Perkembangan itu turut mencetuskan pelbagai spekulasi politik mengenai kedudukan kepimpinan kerajaan negeri, namun masih belum disahkan oleh mana-mana pihak berkepentingan.Walau bagaimanapun, Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali pada Jumaat lalu dilaporkan mengeluarkan kenyataan meminta seluruh ahli Pas negeri itu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Mohd Shukri sebagai Menteri Besar.Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri dilaporkan menjalani pemeriksaan lanjut di hospital selepas mengadu sakit dada. Bagaimanapun, beliau kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.Setakat ini, keadaan politik di Perlis kekal tidak berubah, sementara perhatian terus tertumpu kepada sebarang kenyataan rasmi yang bakal dikeluarkan oleh pimpinan Bersatu, Pas atau PN bagi menjelaskan situasi sebenar serta hala tuju pentadbiran kerajaan negeri.