SEPANG – Seorang pemandu e-hailing warga emas cedera parah selepas diserang dan dikelar oleh seorang lelaki di kawasan parkir di Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Isnin.Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 60 tahun diserang oleh seorang lelaki tempatan yang dikenalinya menggunakan senjata tajam."Mangsa cedera parah di leher dan lengan kiri akibat kesan kelar sebelum dikejarkan ke Hospital Cyberjaya untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Norhizam berkata, suspek kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian dengan memandu kereta milik mangsa jenis Perodua Bezza."Bagaimanapun, kira-kira jam 11.15 malam hari sama, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan mengesahkan seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun, dipercayai suspek kes berkenaan, terlibat dalam kemalangan jalan raya di Taman Desa Melati, Fasa 3, Nilai."Suspek ditemui dalam keadaan berlumuran darah serta mengalami kecederaan di bahagian leher. Kita turut menemui sebilah kerambit," katanya.Beliau berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk mendapatkan rawatan sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pemantauan lanjut."Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan," ujarnya.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Faiz Zuki di talian 011-27328077.