GUA MUSANG - Pelbagai spesies burung bernilai tinggi dipercayai hasil pemburuan haram yang disimpan di rumah ladang di sini dibongkar pada Ahad.Tindakan itu dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 12/2025 Zon Timur.Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi pemeriksaan ke atas beberapa rumah itu dijalankan bermula jam 5.30 petang."Pemeriksaan rumah pertama telah menyita 11 ekor burung, rumah kedua (satu ekor burung), rumah ketiga (satu ekor burung), rumah keempat (dua ekor burung), rumah kelima (satu ekor burung) dan rumah keenam (dua ekor burung)."Rampasan melibatkan sembilan ekor murai batu, tujuh ekor merbah luris leher, seekor serindit dan seekor burung daun bernilai RM10,500," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Beliau berkata, berikutan itu, enam lelaki tempatan pekerja ladang berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan.Tambahnya, kesemua tangkapan disyaki menjalankan aktiviti menangkap burung untuk tujuan dipelihara dan dijual.Tegas Abdul Kadir, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang siasatan dijalankan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646].