SHAH ALAM - Kerajaan tidak mengawal selia dasar tambang bagi perkhidmatan e-hailing dan penetapan kadar tambang ditentukan oleh konsep permintaan dan penawaran.Demikian maklum balas Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung empat perkara yang dibangkitkan semasa sesi libat urus bersama Persatuan Rakan Penghantar Melaka pada 17 November lalu.APAD menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan, semua pemandu mempunyai pilihan sama ada menerima atau menolak tempahan."Namun begitu, menurut peraturan APAD (di bawah Keperluan Tahap Perkhidmatan, Lesen Perniagaan Perantaraan, Kenderaan E-Hailing, Perkara 11, Bahagian III - Operasi), iaitu syarat-syarat lesen yang perlu dipatuhi semua pemegang lesen perniagaan, telah ditetapkan."Antaranya pemegang lesen hendaklah memastikan pemandu tidak tawar-menawar selepas berjaya mendapat tempahan, sebaliknya memberikan perkhidmatan berdasarkan tempahan yang diterima," menurut kenyataan itu.Tambah APAD, Kementerian Pengangkutan kini sedang menjalankan Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam (PSPA) yang antara lain mengkaji kewajaran mengawal selia tambang e-hailing."Hasil kajian tambang lantai e-hailing itu akan dibentangkan kepada menteri untuk pertimbangan lanjut. Namun, pada masa ini kerajaan tidak mengawal kadar tambang e-hailing," menurut kenyataan itu lagi.Sementara itu, APAD memaklumkan, kenderaan persendirian yang menjalankan perkhidmatan komersial (e-hailing) perlu mendapatkan insurans tambahan daripada syarikat insurans masing-masing yang akan menetapkan kadar tambahan tersebut.APAD menjelaskan, insurans tambahan e-hailing ini akan memberikan perlindungan bukan sahaja kepada pemandu, kenderaan dan pihak ketiga, malah juga kepada penumpang yang tidak terlindung di bawah skim insurans kenderaan persendirian."Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Bank Negara Malaysia (BNM) telah menubuhkan satu pasukan Taskforce untuk mengkaji dan menyelaras skim insurans e-hailing yang mampu milik."Pada masa ini, pasukan Taskforce sedang mengumpul dan menganalisis data pelaksanaan skim insurans semasa untuk menilai faktor risiko berdasarkan kadar kemalangan dan tuntutan insurans yang melibatkan kenderaan-kenderaan e-hailing," jelas APAD.Mengulas mengenai subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada pemandu e-hailing, APAD memaklumkan, ketetapan dasar itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)."Peranan APAD adalah terhad kepada penyelarasan data perjalanan pemandu e-hailing yang diterima untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan bagi tindakan lanjut," menurut APAD.