Kartel tipu bida: Enam perusahaan berdepan penalti kewangan

SHAH ALAM - Enam perusahaan bakal berdepan penalti kewangan atas penglibatan mereka dalam kartel tipuan bida melibatkan 16 sebut harga dan satu tender yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Kluang.Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Idrus Harun berkata, MyCC telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap enam perusahaan berkenaan selepas didapati secara berperingkat telah melanggar Seksyen 4(2)(d) Akta Persaingan 2010 [Akta 712].Menurutnya, sebut harga dan tender yang terjejas melibatkan nilai perolehan dari RM30,000 hingga RM3 juta, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM7.3 juta."Melalui penyiasatan MyCC, didapati bahawa perusahaan-perusahaan tersebut telah terlibat dalam kartel tipuan bida melalui pertukaran maklumat dan penyelarasan penyerahan tender dan bidaan oleh pihak yang sama."MyCC mendapati bahawa perjanjian sedemikian mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara berhubung dengan perolehan awam di Jabatan Penjara Kluang."Adalah penting untuk ditekankan bahawa pada peringkat ini, Keputusan Cadangan tersebut merupakan dapatan awal dan ia tidak boleh dianggap bahawa perusahaan-perusahaan ini telah melanggar Akta 712 secara konklusif," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, perusahaan-perusahaan itu juga telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan."Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan serta membentangkan representasi lisan di hadapan Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kemudian."MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh perusahaan-perusahaan ini bersama-sama dengan bukti yang diperoleh semasa penyiasatan," katanya.