PUCHONG – Pemuda UMNO Selangor menyerahkan memorandum bantahan di hadapan Pejabat Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin pada Selasa bagi mengecam kenyataan serta hantaran media sosial wakil rakyat itu yang didakwa bersifat biadab, sinis dan mencetuskan provokasi politik.Memorandum tersebut menyatakan bantahan keras terhadap kenyataan Bee Yin yang didakwa memperlekeh isu perundangan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, selain mencemarkan keharmonian politik dalam Kerajaan Perpaduan.Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, sebagai seorang ahli Parlimen dan pemimpin dalam kerajaan, tindakan sedemikian disifatkan tidak bertanggungjawab serta bertentangan dengan etika kepimpinan dan semangat perpaduan yang sering dilaungkan."Kami membantah sekeras-kerasnya kenyataan bersifat menyindir dan seolah-olah meraikan kesusahan pihak lain, khususnya membabitkan proses kehakiman yang masih tertakluk kepada hak dan ruang perundangan," katanya.Mohd Imran turut mendakwa tindakan itu mencerminkan ketidakmatangan politik, selain mencetuskan kemarahan akar umbi UMNO serta bercanggah dengan prinsip Kerajaan Perpaduan.Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO Selangor menuntut Bee Yin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Najib dan keluarganya, serta kepada seluruh ahli UMNO.Tegas beliau, permohonan maaf tersebut perlu dibuat secara jelas dan terbuka menerusi medium awam yang sama digunakan untuk menyebarkan kenyataan kontroversi terbabit.Selain itu, katanya lagi, Pemuda UMNO Selangor turut menggesa Ahli Parlimen Puchong itu supaya segera menurunkan dan memadam sebarang hantaran atau komen media sosial yang didakwa bersifat menghina, menyindir keputusan mahkamah dan mengguris perasaan ahli keluarga serta penyokong UMNO."Kegagalan berbuat demikian akan dilihat sebagai keangkuhan politik dan keengganan menghormati sensitiviti rakyat," ujar beliau.Menurut Mohd Imran, Pemuda UMNO Selangor tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk penghinaan atau cubaan merendahkan maruah pimpinan dan ahli parti."Kami juga tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan susulan, termasuk desakan awam, gerakan politik berperingkat dan tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang sekiranya tuntutan ini tidak dipenuhi," tegas beliau.Sebelum ini, Bee Yin dilaporkan memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung Titah Adendum yang bertujuan membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.Dalam hantaran tersebut, Bee Yin dilaporkan menulis: "Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini."Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari 2024.