Penilaian prestasi kena adil bagi pegawai berpengalaman - CUEPACS

KUALA LUMPUR - Penilaian prestasi dalam perkhidmatan awam perlu dilaksanakan secara adil, berintegriti dan menyeluruh, khususnya apabila membabitkan pegawai berpengalaman yang telah lama berkhidmat, menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, walaupun CUEPACS menyambut baik usaha penambahbaikan sistem perkhidmatan awam yang memberi penekanan kepada prestasi sebagai elemen utama penilaian, sumbangan pegawai lama tidak wajar dinilai semata-mata berdasarkan hasil kerja semasa.Beliau berkata, pegawai berpengalaman merupakan aset penting kepada perkhidmatan awam kerana sumbangan mereka merangkumi pengalaman, kepakaran, komitmen, kestabilan organisasi serta peranan dalam membimbing pegawai baharu."Semua aspek ini wajar diambil kira secara seimbang dalam proses penilaian prestasi agar ia benar-benar mencerminkan sumbangan sebenar seseorang pegawai kepada organisasi dan perkhidmatan awam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Adnan berkata, pegawai penilai memikul amanah dan tanggungjawab besar untuk melaksanakan penilaian prestasi secara objektif, telus serta bebas daripada sebarang unsur pilih kasih.Beliau berkata, penilaian hendaklah dibuat berdasarkan merit sebenar, prestasi keseluruhan, sikap profesional, pengalaman dan sumbangan berterusan pegawai kepada organisasi dan perkhidmatan awam."CUEPACS berpandangan sistem penilaian yang adil dan menyeluruh mampu meningkatkan keyakinan penjawat awam, memupuk motivasi kerja yang sihat serta memastikan keadilan kepada semua lapisan pegawai tanpa mengira tempoh perkhidmatan," katanya.Beliau berkata, CUEPACS akan terus memantau pelaksanaan sistem penilaian prestasi bagi memastikan ia benar-benar menghargai sumbangan pegawai berpengalaman serta menyokong usaha memperkasa perkhidmatan awam demi kepentingan negara dan rakyat. - Bernama