KUALA LUMPUR - Bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjelaskan dakwaan bahawa bekas Menteri Kesihatan itu ditawarkan rasuah sebanyak RM50 juta untuk menggugurkan dasar Generasi Penamat (GEG) tembakau.G Sivamalar berkata, satu artikel yang ditulisnya baru-baru ini sebagai penghargaan peribadi kepada Zaliha, telah dipetik di luar konteks dan disalah tafsir sehingga mencetuskan spekulasi awam mengenai dakwaan cubaan rasuah."Artikel berkenaan tidak menuduh sebarang salah laku atau mencadangkan wujudnya pembabitan tidak wajar. Ia semata-mata bertujuan menonjolkan integriti dan kepemimpinan Zaliha."Malangnya, sebahagian kecil kandungan dipetik di luar konteks dan menjadi tular, sekali gus menimbulkan salah faham," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Sivamalar menjelaskan, insiden itu berlaku kira-kira dua tahun lalu, selepas Zaliha, yang ketika itu merupakan Menteri Kesihatan mengumumkan bahawa kementerian sedang menyediakan perundangan berkaitan produk merokok dan vape."Pada waktu itu, reaksi awam bercampur-baur dan dicemari salah faham meluas, dengan ramai pihak menyangka cadangan itu membabitkan larangan menyeluruh, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri dan pihak berkepentingan."Dalam tempoh seminggu selepas pengumuman itu, pelbagai individu cuba menghubungi pejabat menteri termasuk membuat permintaan untuk mengadakan pertemuan," katanya.Sivamalar berkata, dalam satu kejadian ketika beliau menguruskan kehadiran pelawat di lobi, seorang individu atau kumpulan telah meminta untuk bertemu dengan menteri."Apabila ditanya tujuan pertemuan, jelas bahawa niat mereka adalah untuk merundingkan penarikan balik rang undang-undang yang dicadangkan, dengan isyarat tawaran tertentu disampaikan secara tersirat," katanya.Menurutnya, beliau memaklumkan perkara itu kepada Zaliha dan menteri berkenaan secara tegas menolak untuk bertemu sesiapa serta mengarahkan supaya mereka diminta beredar."Arahan itu disampaikan dan individu berkenaan kemudian meninggalkan tempat tersebut. Zaliha tidak pernah bertemu mereka mahupun melayan sebarang perbincangan seumpama itu."Ketika saya menulis artikel penghargaan itu, saya cuba mengimbas kembali kejadian berkenaan. Sebarang tanggapan sebaliknya adalah tidak tepat dan berpunca daripada petikan yang disalah tafsir," ujarnya.Tambahnya, ketika itu keutamaan kementerian adalah untuk menstabilkan keadaan dengan membetulkan salah faham awam dan memastikan pihak berkepentingan memahami dengan jelas tujuan serta skop perundangan yang dicadangkan."Berdasarkan penilaian saya pada waktu itu, tiada tawaran rasuah yang serius atau jelas sehingga memenuhi ambang untuk dilaporkan dengan segera," katanya.Beliau menegaskan, sekiranya terdapat sebarang cubaan yang jelas, langsung atau eksplisit untuk menawarkan rasuah, ia pasti akan dilaporkan kepada pihak berkuasa tanpa sebarang keraguan."Saya kekal bersedia untuk memberikan penjelasan lanjut sekiranya diperlukan," katanya.Pada Isnin, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Centre) menggesa SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan bahawa Dr Zaliha ditawarkan RM50 juta untuk menggugurkan dasar GEG.Dakwaan tersebut timbul melalui rencana pendapat yang ditulis oleh Sivamalar dan diterbitkan oleh sebuah portal berita, serta kemudiannya diulangi dalam kenyataan kepada portal berita perubatan, CodeBlue.Dalam rencana berkenaan, Sivamalar mendakwa bahawa bekas menterinya menerima beberapa pendekatan yang berunsur rasuah, termasuk melalui panggilan telefon dan kemungkinan secara bersemuka, bagi memujuk beliau menggugurkan Rang Undang-Undang GEG yang bertujuan melarang merokok kepada mereka yang lahir selepas 2007.