SHAH ALAM – Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu Datuk Mohd Nazifuddin meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Isnin yang menolak permohonan berkaitan Titah Adendum berhubung tahanan rumah ke atas bapanya.Exco Pemuda UMNO itu berkata, kekecewaan tersebut bukan hanya kerana ia membabitkan bapanya tetapi kerana keputusan itu dilihat turut menyentuh dan menjejaskan kedudukan institusi Diraja serta titah Yang di-Pertuan Agong."Saya kenal ayah saya. Bossku tidak akan mengalah, beliau akan terus berjuang. Namun sebagai seorang anak, dengan setiap halangan dan ujian yang berpanjangan ini, saya tidak dapat menahan persoalan bilakah semua ini akan berakhir? Bilakah ia dianggap cukup bagi mereka?"Keputusan semalam amat menyedihkan buat saya, bukan semata-mata kerana ayah saya, tetapi kerana makna di sebalik keputusan itu. Selama puluhan tahun, UMNO memperjuangkan prinsip tertinggi menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mematuhi setiap titah serta perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong."Namun dalam sekelip mata semalam, maruah dan kedudukan institusi tersebut seolah-olah runtuh. Keputusan itu membawa maksud bahawa apa-apa titah atau dokumen Diraja tidak mempunyai nilai tanpa melalui proses kerajaan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.Pada Isnin, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme tersebut di negara ini.Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, menolak permohonan itu atas alasan bahawa Titah Adendum tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari 2024.Mengulas lanjut, Mohd Nazifuddin berkata keputusan tersebut memberi implikasi besar terhadap sistem yang selama ini dijunjung dalam kerangka perlembagaan negara."Jika ini pendirian kerajaan, mengapa perkara ini tidak dinyatakan sejak awal? Mengapa kami perlu berulang-alik ke mahkamah memperjuangkan kewujudan satu adendum yang kini dikatakan tidak sah hanya kerana isu proses?"Saya secara peribadi percaya adendum itu adalah sah. Selama ini, kefahaman saya – dan ramai lagi – ialah Lembaga Pengampunan hanya bersifat nasihat, manakala kuasa sebenar terletak pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong."Namun dengan keputusan mahkamah ini, mesej yang diterima amat jelas – bahawa kuasa itu kini terletak pada kerajaan. Dan tanpa proses kerajaan, dokumen Diraja tidak membawa sebarang nilai," katanya.Mohd Nazifuddin turut mempersoalkan bagaimana kes-kes terdahulu yang turut mempunyai isu proses boleh diterima, termasuk pelantikan pemimpin tertinggi negara."Bagaimana seseorang boleh menjadi Perdana Menteri tanpa Lembaga Pengampunan yang lengkap dan ketika Peguam Negara berada dalam cuti khas?"Di manakah konsistensi? Atau adakah semua ini sekadar satu pembohongan besar kepada rakyat Malaysia?"Katanya lagi, kepada pihak yang meraikan kenyataan bahawa Najib masih berada di Penjara Kajang, mereka seharusnya sedar bahawa ini bukan hari pertama beliau di sana, sebaliknya telah memasuki tahun keempat."Jika benar kehendak Tuanku yang terdahulu – seperti dizahirkan melalui surat Istana maka kerajaan hari ini sedang menahan Najib Razak secara tidak adil, bertentangan dengan kehendak tersebut," ujarnya.Tambah beliau, dalam masa yang sama, kerajaan dilihat tidak menunjukkan kesungguhan yang sama dalam memburu dalang utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), iaitu ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low.