Pergolakan PN Perlis: Selesai cara adik-beradik, kata Shahidan

ARAU – Perikatan Nasional (PN) Perlis tidak dimaklumkan mengenai penarikan sokongan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, sebaliknya hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan media.Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, isu penarikan sokongan ADUN tidak seharusnya dibesar-besarkan sehingga mencetuskan persepsi wujud krisis dalam PN.Menurut beliau, pergolakan politik yang berlaku ketika ini akan diselesaikan secara berhemah dan semangat kekeluargaan tanpa menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri."Saya dengar perkara ini melalui media sosial. Namun, sebagai Pengerusi PN negeri, saya tidak nampak adanya satu pakatan yang dibuat. Kalau ada pakatan, saya pasti tahu kerana perkara seperti ini mesti diputuskan secara bersama dan melalui parti."Ini bukan krisis, tetapi perbezaan pendapat. Jika kita anggap ia krisis, ia boleh melemahkan parti. Cara penyelesaiannya mesti secara adik-beradik, bukan bergaduh sesama sendiri," katanya pada Selasa.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Dana Pendidikan Yayasan Fawwaz di Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini.Timbalan Pesuruhjaya Pas 3 Perlis itu menjelaskan, sebarang tindakan berkaitan sokongan wakil rakyat perlu diputuskan oleh parti di peringkat pusat sebelum dimaklumkan kepada pihak istana, selaras dengan prinsip dan disiplin parti politik.Jelasnya, tindakan secara individu oleh mana-mana wakil rakyat, jika berlaku akan diteliti dan dikaji oleh parti mengikut peraturan sedia ada."Pendekatan PN jelas, apa-apa keputusan mesti dibuat oleh parti. Selepas itu barulah disampaikan kepada Tuanku Raja Perlis. Di peringkat negeri, kami hanya menyediakan maklumat yang diperlukan dan menunggu keputusan pusat," ujarnya.Dalam pada itu, Ahli Parlimen Arau itu menyeru semua pihak supaya bertenang dan tidak membuat spekulasi berlebihan yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap PN dan kestabilan politik negeri.Beliau turut menekankan kepentingan menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah dan kekeluargaan, tanpa pertelingkahan terbuka atau perpecahan dalaman."Kita perlu kekal bersatu kerana rakyat menilai kekuatan kita melalui perpaduan"(Isu ini) biarlah pimpinan pusat yang membuat keputusan. Jika parti arahkan saya untuk menyelesaikan sesuatu perkara, saya bersedia. Tidak ada masalah," katanya lagi.Media sebelum ini melaporkan bahawa lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas dikatakan telah mengemukakan Akuan Bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mohd Shukri.