Kes Najib: Apa perlu anda tahu mengenai Titah Adendum, keputusan Mahkamah Tinggi

TITAH Adendum dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di kediamannya.Ia merupakan tambahan kepada titah utama, yang mana membenarkan pengampunan kepada Najib berhubung kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta, iaitu lega hukum daripada penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.Kes2 Februari 2024 - Lembaga Pengampunan mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa hukuman penjara asal Najib selama 12 tahun dan denda RM210 juta telah dikurangkan kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.1 April 2024 - Istilah 'Titah Adendum' mula dibangkitkan apabila Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan mendakwa wujud satu perintah tambahan diraja yang membolehkan beliau menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.Semakan kehakiman itu bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain menguatkuasakan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.4 Julai 2024 - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib dengan alasan afidavit sokongan mengandungi keterangan dengar cakap.Keputusan itu mendorong Najib merayu ke Mahkamah Rayuan.6 Jan 2025 - Di Mahkamah Rayuan, Najib memenangi rayuan tersebut melalui keputusan majoriti 2-1, dengan perintah supaya perkara itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh.Mahkamah Rayuan turut membenarkan Najib mengemukakan bukti baru, termasuk salinan surat yang didakwa berasal dari Titah Adendum.24 Mac 2025 - Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh 28 April 2025 untuk mendengar permohonan Peguam Negara yang ingin mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.28 April 2025 - Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk mengemukakan rayuan tersebut.13 Ogos 2025 - Mahkamah Persekutuan memerintahkan permohonan semakan kehakiman itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas menolak permohonan Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan terbabit.Mahkamah Persekutuan turut menolak rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib mengemukakan bukti baharu bagi menyokong kewujudan dokumen tambahan.18 Ogos 2025 - Mahkamah Tinggi menetapkan 19 September 2025 bagi mendengar permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang bagi menyokong Titah Adendum dalam semakan kehakimannya.Ia merupakan surat didakwa daripada Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari 2025, yang dialamatkan kepada anak bekas Perdana Menteri itu yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.Hakim, Alice Loke Yee Ching turut menetapkan hari yang sama bagi mendengar permohonan kerajaan supaya mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) agar pihak-pihak tidak membincangkan isu berkaitan prosiding itu.25 November 2025 – Mahkamah Tinggi menetapkan 22 Disember 2025 sebagai tarikh keputusan mengenai semakan kehakiman Titah Adendum Najib.22 Disember 2025 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, dan memerintahkan beliau terus kekal di Penjara Kajang.Yee Ching memutuskan demikian mendapati titah itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 untuk membenarkan Najib, 72, menjalani hukuman penjara di kediaman sendiri.Menurutnya, titah itu tidak dibuat mengikut tatacara Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana isu tahanan rumah tidak diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.23 Disember 2025 - Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menjelaskan proses mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan kebiasaannya mengambil masa kira-kira enam bulan, namun dalam keadaan tertentu tarikh pendengaran boleh dipercepatkan.Menurut beliau, peguam mewakili Najib boleh memohon pendengaran lebih awal, terutama apabila kes membabitkan hak asasi manusia.