PUTRAJAYA - Ketegangan politik antara UMNO dan DAP terus memuncak apabila pimpinan kedua-dua parti saling berbalas kenyataan menerusi media sosial.Terbaharu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan tampil membidas kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berhubung keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan pemenjaraan di rumah.Menerusi hantaran di Facebook, Mohamad secara sinisnya berkata, beliau menunggu untuk meraikan keputusan mahkamah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang membabitkan Penasihat DAP, Lim Guan Eng."Saya pun tunggu untuk raikan apabila mahkamah merasmikan (memutuskan) terowong Pulau Pinang. Mungkin pertengahan tahun 2026," katanya pada Selasa.Kenyataan itu sebagai tindak balas kepada Bee Yin yang memuat naik hantaran berbunyi 'Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini' sejurus Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan permohonan Najib untuk memaksa kerajaan membenarkan beliau menjalani baki pemenjaraan di rumah pada Isnin.Tanpa menunggu lama, Guan Eng pula membalas kenyataan Mohamad dengan mempersoalkan bagaimana hendak merasmikan terowong sedangkan satu sen pun tidak dibayar."Hanya Mat Jenin boleh dapat terowong percuma," jelas beliau.Terdahulu Hakim, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan Najib, 72, untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum supaya beliau dapat menjalani baki hukuman penjara di rumah.Alice memutuskan bahawa tahanan rumah dalam permohonan bekas Perdana Menteri itu tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme itu dijalankan di negara ini.Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah tidak boleh mengeluarkan perintah mandamus untuk memaksa responden mematuhinya.Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong merupakan Raja Berperlembagaan dan melaksanakan kuasa serta fungsi mengikut peruntukan perlembagaan dan pelaksanaan prerogatif ihsan mesti dilakukan dalam kerangka undang-undang dengan kawalan dan had yang termaktub.Sementara itu, Guan Eng, 63, berdepan dengan pertuduhan rasuah membabitkan projek terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion.Bekas Menteri Kewangan itu turut didakwa atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk menguruskan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong Pulau Pinang.