Agong lawat 2 pusat pembuatan pertahanan teknologi canggih di Abu Dhabi

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melawat dua pusat teknologi canggih serta fasiliti pembuatan milik konglomerat pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terkemuka Kumpulan EDGE iaitu NIMR dan CARACAL di Abu Dhabi pada Selasa.Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kunjungan itu merupakan sebahagian daripada Lawatan Khas Seri Paduka Baginda ke UAE bermula semalam.Terdahulu, keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong ke NIMR di Pusat Perindustrian Tawazun, Abu Dhabi disambut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EDGE Hamad Al Marar.Seri Paduka Baginda kemudian berkenan mendengar sembah taklimat oleh Presiden Kluster Platform dan Sistem EDGE Khaled Al Zaabi.Usai lawatan di NIMR, Sultan Ibrahim berangkat ke CARACAL dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hamad Al Ameri.NIMR merupakan pengeluar kenderaan tentera berprestasi tinggi berpangkalan di Abu Dhabi dan merupakan entiti di bawah Kumpulan EDGE manakala CARACAL ialah pengeluar senjata kecil terkemuka.Semasa lawatan di CARACAL, Seri Paduka Baginda turut mempamerkan kemahiran menembak menggunakan senapang penembak tepat (sniper) CSR 308 di lapang sasar 100 meter. - Bernama