Pergerakan Pemuda UMNO Selangor menggesa Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam susulan kenyataannya berkaitan Titah Adendum bekas Perdana Menteri Najib Razak.Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata kenyataan tersebut disifatkan sebagai menyindir, memperlekeh dan berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni, justeru menuntut agar hantaran berkenaan turut dipadam dalam tempoh sama.Desakan itu dibuat ketika lebih 100 Pemuda UMNO Selangor menyerahkan memorandum bantahan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Puchong. Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Puchong, Khairul Azmil Bashir Mohamed memberi amaran kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong akan ditamatkan serta-merta sekiranya permohonan maaf tidak dibuat, selaras dengan pendirian mempertahankan maruah parti dan menghormati institusi Raja-Raja Melayu.