MACHANG – Seorang bapa maut manakala dua anaknya cedera selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas lalu melanggar tiang elektrik di Kilometer 31, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Samad, Pulai Chondong di sini pada Selasa.Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang maut merupakan penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki bersama abang dan ayahnya dalam perjalanan pulang dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu ke Kuala Krai selepas selesai urusan temu janji perubatan.Menurutnya, setiba di lokasi kereta tersebut dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi sebelum terbabas sendiri dan melanggar tiang elektrik di bahu kiri jalan."Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang belakang mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut, manakala penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Ujarnya, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 011-19454020 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di 09-9751222.