BACHOK - Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas semasa mandi di Pantai Kemayang di sini pada Selasa.Dalam kejadian sekitar jam 6.45 petang itu, Muhamad Irfan Mohd Afendi, 9, dipercayai telah dihanyutkan oleh ombak besar.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.15 malam."Sepasukan anggota pasukan penyelamat di air (PPA) dari Balai Bomba Bachok telah ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat," katanya dalam satu kenyataan.Menurut beliau, setiba di lokasi pihaknya mendapati seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di pantai tersebut.Katanya, anggota terlibat telah melakukan operasi carian di permukaan untuk mengesan kanak-kanak terbabit."Pada jam 7.42 malam, kami telah meminda bantuan dari PPDA Balai Pengkalan Chepa untuk membantu," katanya.Sementara itu, seorang pengunjung, Nor Suzilawati Nor Rashid, 24, memberitahu, semasa kejadian kanak-kanak terbabit sedang mandi bersama adiknya yang berusia 12 tahun."Ketika kejadian ibu dan bapa kepada kanak-kanak itu ada berhampiran lokasi. Sekitar jam 6.45 petang, ibu kepada kanak-kanak berkenaan telah memanggil anaknya."Kemudian kanak-kanak tersebut telah ditarik oleh ombak kuat. Bapa kepada kanak-kanak itu berusaha menyelamatkan anaknya, tapi gagal kerana ombak terlalu kuat," katanya.