12 Orang Asli ditahan ceroboh tanah ladang

ROMPIN – Polis menahan 12 lelaki Orang Asli kerana disyaki menceroboh ladang kelapa sawit milik sebuah syarikat di Kampung Tanam, di sini pada Selasa.Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 44 tahun ditahan pada jam 10.30 pagi di dalam kawasan ladang berkeluasan 101.9 hektar itu.Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh wakil syarikat yang berusia 44 tahun berhubung kehadiran sekumpulan lelaki tanpa kebenaran di tanah berkenaan."Pemeriksaan mendapati kawasan terbabit merupakan ladang kelapa sawit dan tiada sebarang rampasan senjata berbahaya dibuat semasa penahanan."Siasatan awal mendapati Mahkamah Tinggi Kuantan telah mengeluarkan perintah pada 15 Oktober lalu yang mengarahkan pihak Orang Asli Kampung Tanam mengosongkan kawasan terbabit dan menyerahkan pemilikan kepada syarikat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Menurutnya, kertas siasatan berhubung kejadian terbabit akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) esok bagi cadangan pertuduhan sekiranya dipersetujui.Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.Sehubungan itu, Sharif Shai menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti pencerobohan tanah yang mempunyai pemilikan sah sama ada milik individu atau syarikat."Mana-mana pihak perlu mempunyai geran pemilikan yang sah untuk mengusahakan tanah."Dinasihatkan mana-mana pihak tidak memasuki, membersihkan, menanam sebarang tanaman atau membina sebarang binaan di kawasan tanah yang bukan milikan sah," katanya.