Misi KL City rampas tempat kedua Liga Super

KUALA LUMPUR City FC dalam misi untuk merebut kembali kedudukan kedua Liga Super selepas kini berkongsi 24 mata dengan Kuching City FC selepas 11 perlawanan.Bakal berdepan Kuching City pada Rabu, tonggak Kuala Lumpur, Kenny Pallraj menyifatkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu semakin memberi tekanan hebat kepada mereka apabila berjaya merampas kedudukan kedua liga selepas The City Boys seri 1-1 dengan Negeri Sembilan FC, tempoh hari.Bagi Kenny, Kuala Lumpur sekarang tidak boleh berasa selesa terutamanya selepas lawan mereka itu semakin menunjukkan peningkatan prestasi yang konsisten dalam beberapa perlawanan terdahulu dan kedua-dua pasukan ini hanya dibezakan dengan jumlah jaringan yang lebih memihak kepada Kuching City.Paling penting, anak buah Risto Vidakovic ini perlu lebih peka dalam 90 minit perlawanan bagi memastikan kesilapan sama tidak lagi berulang sepertimana di Stadium Tuanku Abdul Rahman yang membiarkan pasukan lawan bangkit untuk menyamakan kedudukan terutamanya pada minit-minit akhir permainan."Kalau kita lihat aksi dengan Negeri Sembilan, mereka datang dengan impak yang lebih tinggi pada separuh masa kedua walaupun awalnya kita mendahului."Kita dapat banyak peluang sebenarnya tapi tak manfaatkan peluang itu sebetulnya, dan akhirnya kita seri 1-1."Jadi, benda macam ini tidak boleh jadi lagi, kita kena buat yang lebih baik sebab bermain di laman sendiri dan kalau boleh kita nak habiskan pusingan pertama Liga Super ini dengan kembali berada di tangga kedua", ujarnya.Selepas 11 perlawanan, Kuching City dan Kuala Lumpur masing-masing hanya tewas sekali sahaja iaitu kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) menyaksikan Kuching ketika ini telah mengumpul 24 gol manakala Kuala Lumpur dengan 20 gol.