NASIB malang terus menimpa tujuh pemain warisan Harimau Malaya apabila nilai pasaran mereka bukan sahaja jatuh mendadak, malah kini direkodkan sebagai tidak bernilai susulan isu pemalsuan dokumen.Berdasarkan kemas kini di laman penilaian pemain antarabangsa, Transfermarkt, kesemua pemain tersebut kini mencatatkan nilai pasaran sifar akibat isu tersebut.Pemain sayap, Imanol Machuca menjadi individu yang paling terkesan apabila nilai pasarannya yang sebelum ini mencecah €2.5 juta (RM11.98 juta) kini 'hangus' sepenuhnya.Situasi sama turut dirasai penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Joao Figueirido apabila nilai pasarannya susut sebanyak €2 juta (RM9.58 juta) sekelip mata.Rekod penilaian turut menyaksikan nilai Facundo Garces yang sebelum ini pernah mencecah €2 juta (RM9.58 juta) sebelum turun kepada €1 juta (RM4.79 juta), akhirnya kini menjadi kosong.Seorang lagi pemain, Jon Irazabal turut mengalami nasib serupa apabila nilai pasarannya jatuh sebanyak €600,000 (RM2.87 juta), diikuti Rodrigo Holgado €450,000 (RM2.16 juta) serta seorang lagi tonggak JDT, Hector Hevel yang menyaksikan penyusutan nilai sebanyak €400,000 RM1.91 juta.Gabriel Palmero yang sebelum ini diletakkan pada harga €50,000 (RM239,000) kini turut hilang nilai komersial.Terdahulu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman berat kepada tujuh pemain terbabit dengan denda RM10,560 setiap seorang serta penggantungan selama 12 bulan.Mereka didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan dengan kesalahan pemalsuan dokumen bagi tujuan mendapatkan status kerakyatan.Impak penggantungan tersebut nyata memberi tamparan hebat kepada karier kelab masing-masing.Difahamkan, kontrak Rodrigo Holgado bersama kelab Colombia, America de Cali telah ditamatkan serta-merta, manakala nasib sama menimpa Gabriel Palmero apabila disingkirkan oleh kelab Sepanyol, CD Tenerife.Bagi Imanol Machuca, kelab Argentina, Velez Sarsfield dilaporkan enggan menyambung tempoh pinjamannya dan pemain itu telah dihantar pulang ke kelab asalnya di Brazil, Fortaleza EC.Facundo Garces pula kini berada dalam keadaan tidak menentu apabila kelabnya masih menangguhkan sebarang tindakan sementara menunggu keputusan akhir berhubung status pemain itu.Bagaimanapun, tiga pemain yang berpangkalan di Malaysia iaitu Hector Hevel, Joao Figuerido dan Jon Irazabal masih kekal bersama JDT setakat ini.Selain itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut menerima padah apabila dikenakan denda sebanyak RM1.8 juta oleh FIFA.Susulan itu, badan induk bola sepak negara itu kini dalam proses membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai langkah terakhir bagi mencabar keputusan FIFA itu.