PUTRAJAYA – Langkah reformasi pemendekan tempoh pengeluaran Perakuan Pelan Teknikal Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) meningkatkan kecekapan proses kerja dan mempercepat kelulusan teknikal tanpa menjejaskan aspek kepatuhan standard keselamatan.Pemendekan tempoh itu daripada 28 hari kepada hanya tiga hari merupakan inisiatif di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).Tindakan ini diambil melalui Pelan Pelaksanaan Perubahan bagi mengurangkan kerenah birokrasi.Inisiatif ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran penyediaan 10,000 EVCB pada 2025 di seluruh negara seiring peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV).Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata, pemendekan tempoh ini dilaksanakan dengan penuh pertimbangan terhadap keperluan keselamatan kebakaran yang ditetapkan pihak berkuasa.Menurutnya, pemendekan tempoh ini turut memberi kesan positif antaranya mempercepatkan penyediaan infrastruktur EV secara lebih meluas dan efisien."Selain itu dapat menggalakkan pelaburan dalam pembangunan stesen pengecasan EV melalui pengurangan kos masa dan birokrasi selain mengurangkan kelewatan pelaksanaan projek."Ia juga memberi manfaat alam sekitar dengan pengurangan pelepasan karbon daripada kenderaan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE)," katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya.Beliau berkata, JBPM berperanan bagi memastikan setiap permohonan kelulusan pelan yang dikemukakan diselesaikan dalam masa tiga hari sekali gus menjimatkan kos.Jelasnya, ini bagi memastikan pembangunan EVCB tersusun dan mematuhi keperluan keselamatan kebakaran."Prosedur yang perlu dipatuhi pemaju ialah permohonan pelan hendaklah dikemukakan melalui Principal Submitting Person (PSP) atau Submitting Person (SP) atau pelukis berdaftar."Penilaian pelan itu berdasarkan Garis Panduan Keselamatan Kebakaran bagi EVCB."Sekiranya permohonan itu mematuhi segala keperluan keselamatan ditetapkan, kelulusan dan perakuan akan dikeluarkan," ujarnya.Cabaran baharuTambah Nor Hisham, penggunaan EV dan pemasangan EVCB merupakan satu cabaran baharu kepada JBPM dalam mengurus dan menangani insiden melibatkan teknologi ini.Katanya, situasi ini menuntut kefahaman mendalam terhadap ciri dan risiko kebakaran berkaitan EV dan EVCB memandangkan sifat insiden yang berpotensi berlaku berbeza dengan kenderaan konvensional."Pemasangan EVCB yang tidak diuruskan dengan baik membawa risiko kebakaran mengancam nyawa serta kerosakan harta benda."Ini merupakan cabaran kepada JBPM dan ia memerlukan penyesuaian dari segi perancangan, pengetahuan teknikal serta pelaksanaan operasi menyeluruh," jelasnya.Justeru kata beliau, JBPM telah menjalankan beberapa kajian serta kerjasama bagi mengenal pasti risiko jenis kebakaran, ciri pembakaran, corak pelepasan haba, tempoh kebakaran dan bahaya sampingan.Katanya lagi, berkaitan kelebihan EVCB terhadap corak kerja JBPM, teknologi ini dilihat sebagai inisiatif dengan perkembangan teknologi."Tahap kesiapsiagaan JBPM berkaitan pelaksanaan ini amat tinggi."Kita telah melaksanakan kerjasama memorandum persefahaman (MoU) dengan Petronas sejak 2022, Thermal Runaway Technical Research dengan kerjasama Porsche dan Shell serta pembangunan piawaian bersama Tsinghua University, China," ujarnya.Jelas Nor Hisham, EV secara komersial merupakan alternatif penggunaan diesel dan petrol yang boleh mengurangkan kesan kepada alam sekitar akibat pemanasan global serta perubahan iklim.