HULU TERENGGANU – Seorang lelaki cedera pada muka dan kepala selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kilometer 17, Jalan Kuala Berang–Tajin–Telemong di sini pada Selasa.Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika mangsa memandu sebuah Proton Preve dari arah Telemong menghala ke Tanjung Putat.Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan secara tiba-tiba hilang kawalan sebaik tiba di lokasi berkenaan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebuah rumah di Kampung Chepoh, Telemong."Akibat kemalangan itu, pemandu berusia 21 tahun yang juga penyelia kilang mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kepala."Mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.Sharudin berkata, kenderaan yang terlibat mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala rumah yang dirempuh turut mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan dinding runtuh."Hasil semakan mendapati pemandu berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah."Kenderaan terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.