Belanjawan kerajaan negeri bantu rakyat melalui Simpan SSPN, bayaran balik PTPTN

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menzahirkan ucapan terima kasih atas inisiatif dan komitmen berterusan kerajaan negeri Johor, Selangor, Sarawak, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah.Kesemua negeri terbabit menyokong usaha murni memupuk budaya menabung dengan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan bayaran balik pinjaman PTPTN melalui pembentangan Belanjawan 2026 negeri masing-masing.Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya melihat pengumuman itu sebagai manifestasi komitmen kerajaan negeri yang amat menitikberatkan aspek pendidikan dalam agenda pembangunan insan.Menurut beliau, kepelbagaian inisiatif diumumkan dalam Belanjawan 2026 oleh kerajaan negeri jelas menunjukkan kesungguhan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negeri masing-masing melalui pendekatan yang inklusif dan mampan."Saya yakin melalui kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan PTPTN, lebih ramai pelajar akan mendapat manfaat, sekali gus melahirkan generasi berilmu serta berdaya saing untuk masa depan negara."PTPTN turut menghargai komitmen kerajaan negeri yang mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan insentif berkaitan Simpan SSPN dan bayaran balik pinjaman PTPTN sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi serta meringankan beban kewangan pelajar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak kerajaan negeri dan agensi berkaitan agar menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama dalam penyaluran insentif pendidikan serta pelaksanaan program kebajikan rakyat.Menurut Bahagian Komunikasi Korporat PTPTN, Belanjawan Kerajaan Negeri Johor 2026 memperuntukkan RM24.6 juta di bawah inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) atau BKJ Anak Yatim Negeri Johor.Ia diberikan dalam bentuk tunai dan Simpan SSPN sebanyak RM2,000 seorang yang akan memanfaatkan seramai 12,307 anak yatim.Belanjawan Negeri Selangor pula memperuntukkan sebanyak RM3 juta di bawah Program Iltizam Anak Selangor (ANAS), diteruskan dengan pemberian RM100 setahun kepada 30,000 anak kelahiran negeri tersebut untuk lima tahun bagi permohonan yang diluluskan.Di Sarawak, belanjawan kerajaan negeri yang diumumkan pada 24 November lalu memperuntukkan RM15 juta bagi Program Insentif Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Anak Sarawak.Belanjawan Negeri Sembilan 2026 menyediakan RM1.6 juta kepada kelahiran bayi baharu dengan insentif RM100 di Simpan SSPN.Belanjawan Negeri Perak 2026 pula memperuntukkan RM1 juta bagi Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN), menyediakan RM200 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime untuk anak kelahiran Perak berumur di bawah 13 tahun.Belanjawan Negeri Melaka 2026 yang diumumkan pada 5 Disember lepas memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi inisiatif Program MeSRa Bayi.Melalui program tersebut, insentif diberikan kepada kelahiran bayi baharu Anak Melaka sebanyak RM50 melalui akaun Simpan SSPN Prime, malah sebagai penghargaan istimewa kepada yang lahir pada hari pembentangan bajet, bakal menerima insentif RM150 seorang.Belanjawan Negeri Pahang 2026 pula memperuntukkan RM6.5 juta bagi Program Permata Makmur serta bantuan pengurangan bayaran balik pinjaman PTPTN Ijazah Pertama anak Pahang yang baru sahaja bekerja bermula 2025 dengan peruntukan RM7 juta.Akhir sekali, Belanjawan Negeri Sabah 2026 meneruskan inisiatif bantuan pendidikan sedia ada iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara 'one-off' (Budi), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (Bakti) dan Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (Bistari).Simpanan melalui Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun dan perlindungan takaful percuma kepada pendeposit bagi simpanan RM1,000 ke atas.Selain itu, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif, patuh syariah serta jaminan simpanan oleh kerajaan.