Siri Jerayawara PUNB labuhkan tirai di Kuching

KUCHING – Siri Jerayawara Taklimat Pembiayaan Perniagaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) secara rasminya melabuhkan tirainya di lokasi terakhir, bandaraya Kuching dengan mencatatkan penglibatan luar biasa daripada komuniti perniagaan Bumiputera tempatan.Program yang telah menjelajah ke 12 lokasi di seluruh negara sejak Januari lalu ini, telah berjaya menghimpunkan usahawan Bumiputera daripada pelbagai latar belakang.Menurut PUNB, kehadiran seramai 100 peserta di Kuching dan 74 peserta di Miri, bukan sahaja melibatkan Rakan Usahawan PUNB sedia ada, malah turut menarik minat ramai usahawan bumiputera lain yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai solusi kewangan serta khidmat nasihat perniagaan."Sepanjang siri jerayawara itu, PUNB terus memberi penekanan kepada mandat utamanya dalam membangunkan sektor Peruncitan dan Perdagangan Pengedaran."PUNB komited memastikan usahawan dalam rantaian ini terus diperkasa untuk bersaing dalam pasaran yang semakin mencabar melalui sokongan modal dan khidmat nasihat perniagaan yang mampan."Selain memperkukuh sektor peruncitan, jerayawara di Sarawak ini juga menjadi platform penting menyokong kesinambungan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PUNB dan Sarawak Energy baru-baru ini," kata PUNB menerusi satu kenyataan.Melalui kerjasama tersebut, PUNB membuka ruang bagi usahawan Bumiputera tempatan untuk menerokai industri strategik seperti minyak dan gas, teknologi tenaga diperbaharui dan sektor teknikal serta perkhidmatan profesional yang berkaitan.Bagi memastikan usahawan mampu merebut peluang dalam sektor-sektor berimpak tinggi ini, PUNB mengetengahkan skim PROSPER IMPACT ePerolehan sebagai solusi modal kerja utama.Antara ciri utama skim ini adalah:Dana Modal Pusingan: Menawarkan pembiayaan sehingga RM20 Juta bermula tahun 2026.Kumpulan Sasaran: Khusus untuk usahawan yang telah berjaya memperoleh kontra melalui sistem ePerolehan.Manfaat Utama: Membantu usahawan melaksanakan kontrak kerajaan atau projek teknikal berskala besar tanpa gangguan aliran tunai di peringkat permulaan.Kejayaan 12 siri jerayawara itu membuktikan bahawa usahawan bumiputera sentiasa dahagakan maklumat dan peluang.Di Sarawak khususnya, PUNB galakkan usahawan bukan sahaja menjadi pemain utama dalam sektor peruncitan, malah berupaya menembusi rantaian bekalan industri berat seperti minyak dan gas melalui sokongan pembiayaan yang disediakan oleh PUNB.Penutupan jerayawara di Kuching ini menandakan berakhirnya fasa jelajah bagi tahun ini, namun komitmen PUNB dalam memacu pertumbuhan ekonomi usahawan bumiputera untuk meningkatkan skala perniagaan ke tahap yang lebih tinggi akan terus dipergiat melalui pelbagai inisiatif strategik masa hadapan.Bagi usahawan bumiputera yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembiayaan perniagaan dan inisiatif PUNB, anda boleh melayari laman web rasmi di www.punb.com.my dan ikuti saluran media sosial rasmi kami di @punbofficial untuk maklumat terkini.Usahawan bumiputera di Sarawak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut serta khidmat nasihat berkaitan pembiayaan perniagaan PUNB, boleh pergi ke pejabat PUNB Cawangan Miri di Marina Parkcity, Miri Times Square, Miri atau Pejabat PUNB Wilayah Sarawak di Wisma Wan Abu Bakar, Jalan Kulas, Kuching.