JOHOR BAHRU - Pelakon sambilan dan peniaga dari Singapura dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan di sebuah pusat beli-belah dan bertengkar di balai polis pada Ahad lalu.Tertuduh, P Suresh, 46, yang juga warga Singapura mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret A. Shaarmini.Sementara peniaga, Chua Chin Heng, 56, isterinya, Loe Sou Peng, 55, dan anak lelaki Axl Chua Kai Jun, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.Mengikut kertas pertuduhan Suresh dan Chin Heng didakwa secara bersama berkelakuan tidak senonoh dengan bertengkar di kawasan Balai Polis Larkin pada 21 Disember lalu, kira-kira jam 6.15 petang.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 90 Akta Polis dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman dipenjara maksimum enam bulan atau boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500 jika sabit kesalahan.Dalam masa yang sama, Ching Heng bersama isteri dan anaknya didakwa atas pertuduhan mencederakan Suresh di sebuah pusat membeli-belah di Jalan Serigala, Johor Bahru pada hari yang sama, kira-kira jam 5.17 petang.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 12 bulan atau dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal dan Nor Deana Aqilah Aliman.Suresh diwakili peguam Mehnagha Luckhamana manakala keluarga Chua diwakili peguam Muadz Zulkarnain.Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,900 ke atas Suresh.Mahkamah turut membenarkan Chua, isterinya dan anak mereka diikat jamin berjumlah RM19,000 secara keseluruhan dengan seorang penjamin warga Malaysia.Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan pergaduhan dua warga Singapura di sebuah pusat membeli-belah di sini pada Ahad bertukar serius apabila insiden itu berlarutan hingga ke Balai Polis Larkin ketika mereka membuat laporan polis.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, akibatnya kedua-dua suspek berusia 46 dan 56 tahun itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana mengalami kecederaan ringan.Jelasnya, pertikaian bermula apabila salah seorang suspek tidak berpuas hati selepas ditegur oleh isteri seorang lagi suspek yang mendakwa hampir dilanggar dan terkena minuman bir yang tertumpah.Video kejadian pergaduhan di pusat beli-belah itu turut tular di media sosial.