Dua beranak rentung: Bomba serah laporan penuh dalam masa terdekat

KUALA LANGAT - Laporan penuh hasil siasatan berkenaan kes kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna, Butterworth di Pulau Pinang pada 10 Disember lalu akan diserahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada pihak polis dalam masa terdekat.Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, laporan awal telah dikongsikan kepada pihak polis.Bagaimanapun menurutnya, pihak JBPM masih dalam proses menyiapkan laporan penuh hasil siasatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut."Kita ambil sampel (bahan yang terbakar). Kita buat diagnosis, hipotesis dan bagaimana kebakaran berlaku)."Kita perlu mengesahkan barang (bahan yang menyebabkan kebakaran). Apabila cukup maklumat, baru laporan penuh kebakaran diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjut."Dianggarkan masa untuk menyiapkan laporan penuh ini sekitar satu hingga dua minggu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani Kampung Bukit Changgang JBPM di sini pada Rabu.Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita bersama anak angkatnya ditemukan rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran dalam kejadian pada jam 9.41 pagi melibatkan sebuah rumah berkembar kelas A dengan anggaran kemusnahan 85 peratus.Mangsa iaitu Hayani Yaakob, 50-an, dan anak angkatnya, Andra berusia lima tahun ditemukan rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama.Berikutan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail dilaporkan berkata, polis telah menahan anak lelaki berusia 20-an kepada wanita terbabit sebelum direman tujuh hari bermula 19 Disember lalu.Kes yang awalnya diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.