KUALA LANGAT - Kawasan penempatan di pinggir laut merupakan fokus Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai langkah kesiapsiagaan depani musibah banjir selepas amaran hujan berterusan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dijangka melanda empat negeri bermula 25 Disember ini.MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan kawasan yang terlibat ialah seluruh Terengganu dan Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang serta Pasir Puteh dari 25 hingga 28 Disember ini.Keadaan sama dijangka melanda Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) dari 26 hingga 29 Disember.Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, negara masih berada dalam fasa air pasang besar dan monsun timur laut (MTL) di mana dua fenomena ini diberikan perhatian di kawasan pinggir laut."Arahan itu telah kita maklum dan salurkan kepada semua balai di kawasan yang dikenal pasti khususnya bagi MTL dan pasang besar. Buat masa ini kita fokus di pantai timur," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani Kampung Bukit Changgang JBPM di sini pada Rabu.Tambahnya, kesiapsiagaan tinggi JBPM dibuat termasuk penghantaran bekalan makanan di kawasan pedalaman."Minggu ini dan awal tahun depan kita selesaikan (bekalan makanan) di Gua Musang."Lepas itu kita akan mulakan dengan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak sebagai persiapan banjir," ujarnya.Katanya lagi, jumlah operasi JBPM sepanjang MTL bermula 13 November hingga 24 Disember ialah 6,162 pemantauan, 733 pemindahan mangsa, 4,050 operasi serta empat operasi mencari dan menyelamat (SAR).Menurut beliau, sepanjang tempoh itu juga, JBPM turut menerima 620 kes insiden pokok tumbang dengan anggaran dua kes harian.Tegasnya, sebagai langkah keselamatan ibu bapa dinasihatkan agar memantau anak daripada mendekati kawasan berisiko seperti sungai atau longkang bagi mengelakkan sebarang tragedi tidak diingini.