KECEDERAAN panjang yang dialami menyaksikan ranking dunia pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia terus merosot ke tangga ke-144 dalam kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF).Situasi itu menyebabkan bekas juara Seluruh England 2021 berkenaan terkeluar daripada kelompok 10 pemain perseorangan terbaik negara, apabila kedudukannya dipintas pemain muda, Huan Kai Hern.Kemas kini ranking dunia bagi minggu ke-52 ini jelas mencerminkan kesan tempoh rehat berpanjangan yang terpaksa dilalui Zii Jia.Pemain berusia 27 tahun itu masih dalam fasa pemulihan sepenuhnya dan belum kembali beraksi secara kompetitif di pentas antarabangsa.Selain itu, beberapa pemain muda lain turut mencatat peningkatan ketara. Cheam June Wei naik lima tangga ke kedudukan ke-103, manakala Tan Jia Jie meningkat satu tangga ke kedudukan ke-133, hasil prestasi konsisten mereka dalam kejohanan antarabangsa kebelakangan ini.Senarai 10 pemain perseorangan lelaki terbaik negara kini diketuai Leong Jun Hao (28), diikuti Justin Hoh (39) dan Aidil Sholeh Ali Sadikin (45).Pada November lalu, Zii Jia mengumumkan bahawa perjalanan kariernya bagi musim 2025 telah berakhir, dengan tumpuan kini diberikan sepenuhnya kepada proses pemulihan dan persediaan untuk menghadapi kejohanan pada tahun depan.Zii Jia pernah mencatat kedudukan tertinggi dalam ranking dunia BWF pada 25 Oktober 2022, iaitu no,2 dunia di belakang bintang Denmark, Viktor Axelsen.