Isu rumah tangga rujuk pihak bertauliah bukan 'coach cerai'

SHAH ALAM – Pasangan suami isteri yang mempunyai masalah rumah tangga sepatutnya merujuk kepada kaunselor perkahwinan, pegawai agama atau pihak bertauliah kerana ia selari dengan roh syariah.Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, al-Quran sendiri mengajar agar konflik suami isteri ditangani melalui proses rundingan, nasihat dan pelantikan pihak pendamai yang berautoriti.Menurutnya, golongan itu terikat dengan etika profesion, memahami psikologi, hukum serta implikasi jangka panjang sesuatu keputusan dan tidak berpaksikan keuntungan, populariti atau naratif satu pihak sahaja."Oleh itu, kewujudan individu yang didakwa mendorong pasangan ke arah perceraian adalah sesuatu yang wajar diberi perhatian serius."Ini kerana ia akan menimbulkan kebimbangan apabila nasihat yang diberikan bersifat sebelah pihak, tidak memahami keseluruhan konteks syarie, mengangkat emosi mengatasi hikmah, atau menormalisasikan perceraian tanpa usaha pemulihan sebenar."Pendekatan sedemikian boleh bercanggah dengan maqasid syariah, khususnya dalam menjaga institusi keluarga, memelihara nasab, kestabilan emosi dan kesejahteraan masyarakat," ujarnya kepada Sinar Harian.Sebelum ini, isu ‘Coach Cerai’ terus menjadi perhatian selepas didakwa menjadi pendorong kepada pasangan untuk bercerai oleh segelintir pihak, susulan kemelut rumah tangga membabitkan pelakon Kamal Adli dan Uqasha Senrose.Tambah Mohd Sukki, rumah tangga bukan sekadar hubungan emosi, tetapi satu ikatan syarie, sosial dan amanah besar yang melibatkan hukum, hak, tanggungjawab serta masa depan anak-anak."Namun pada masa yang sama, perlu ditegaskan bahawa Islam tidak memaksa pasangan kekal dalam perkahwinan yang memudaratkan, seperti melibatkan keganasan, pengabaian serius atau kezaliman."Dalam hal sedemikian, perceraian boleh menjadi jalan keluar yang dibenarkan, tetapi ia tetap perlu melalui saluran yang betul, berilmu dan berautoriti."Kesimpulannya, usaha membantu pasangan bermasalah satu amanah besar. Ia menuntut keikhlasan, kepakaran dan tanggungjawab, bukan sensasi atau penyederhanaan isu yang kompleks," ulasnya.Beliau turut memberitahu, masyarakat perlu dididik supaya tidak menjadikan media sosial atau pihak tidak bertauliah sebagai rujukan utama dalam hal yang menyentuh hukum dan masa depan keluarga."Jika isu ini ditangani dengan pendekatan yang berlandaskan ilmu, hikmah dan maqasid syariah, insya-ALLAH institusi keluarga akan lebih terpelihara dan masyarakat akan menjadi lebih sejahtera," ujarnya.