Sekumpulan 'mat rempit' lumba haram, langgar lampu merah hingga sebabkan kemalangan

LAHAD DATU - Tindakan berbahaya sekumpulan penunggang motosikal melakukan aktiviti lumba haram, termasuk melanggar lampu isyarat merah hingga menyebabkan kemalangan, membawa padah apabila video kejadian itu tular di media sosial sebelum salah seorang daripada mereka berjaya ditahan polis.Suspek lelaki berusia 21 tahun itu berjaya dikesan sebelum ditahan di kediamannya di Felda Sahabat pada Selasa lalu.Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kejadian itu tular di media sosial pada jam 3.50 pagi Ahad lalu, memaparkan kegiatan disyaki lumba haram oleh sekumpulan penunggang motosikal."Salah seorang penunggang motosikal telah melanggar lampu isyarat merah lalu terlanggar sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda di kawasan laluan Lapangan Terbang Lahad Datu."Tindakannya itu membahayakan diri sendiri dan penunggang jalan raya lain."Hasil maklumat dan tindakan pantas sepasukan unit penguatkuasa dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada jam 4.15 petang Selasa lalu telah berjaya dikesan dikediamannya sendiri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Katanya lagi, suspek yang ditahan kemudian dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut."Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan suspek telah direman selama empat hari untuk tindakan lanjut."Bagaimanapun, mana-mana individu yang melihat kejadian ini diminta tampil dan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke IPD Lahad Datu untuk membantu siasatan," katanya.Beliau dalam pada itu turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga harus memantau pergerakan anak masing-masing supaya tidak terjerumus dengan aktiviti tidak sihat termasuk lumba haram."Pengguna jalan raya juga terutama belia diminta mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram, 'mat rempit' atau samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain."Di bawah peruntukan Seksyen 42 (1) APJ 1987, individu yang terlibat boleh disabit hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000," tegasnya.