Tindakan pecat tiga ADUN bukti Pas junjung prinsip, amanah - MB Perlis

KANGAR – Keputusan Pas Pusat menghentikan serta-merta keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis menunjukkan ketegasan parti dalam mempertahankan prinsip, disiplin dan amanah perjuangan.Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya."Alhamdulillah, setiap perkara ada hikmahnya."Tindakan yang diambil oleh Pas Pusat membuktikan bahawa prinsip, disiplin dan amanah perjuangan sentiasa dijunjung tinggi."Semoga ALLAH bantu dengan kebaikan dunia dan akhirat," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.Mohd Shukri berkata demikian bagi mengulas kenyataan media Pas Pusat berhubung tindakan parti itu menghentikan tiga ADUN iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu pada Rabu.Menurut beliau, mesyuarat berkenaan telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025) bahawa keahlian tiga wakil rakyat terbabit terhenti serta-merta.Abdul Hadi berkata, parti tersebut akan memaklumkan keputusan tersebut secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perlis bagi memenuhi peruntukan Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022.Sebelum ini, media tempatan melaporkan pergolakan di dalam Perikatan Nasional (PN) Perlis terdapat lapan ADUN Perlis didakwa tidak lagi menyokong kepimpinan Mohd Shukri.Mereka didakwa telah menyerahkan SD berkenaan kepada pihak Istana Perlis pada Jumaat lalu.Menurut laporan tersebut, kumpulan ADUN terbabit didakwa melibatkan tiga ADUN Pas dan selebihnya daripada Bersatu.Sebagai rekod, Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, PN mencipta sejarah apabila memenangi 14 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi satu kerusi di DUN Indera Kayangan.