SHAH ALAM – Pemuda MCA menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) yang membenarkan graduan perubatan menggunakan doktor (Dr) sebagai gelaran akademik walaupun tidak layak mengamalkan perubatan di Malaysia.Setiausaha Agungnya, Saw Yee Fung mendakwa, pendirian itu berisiko mengelirukan orang ramai dan menjejaskan kredibiliti profesion perubatan yang dibina berasaskan piawaian ketat dan sistem akreditasi."Dr bukan sekadar gelaran kehormat sebaliknya ia melambangkan identiti profesional serta tanggungjawab terhadap keselamatan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Yee Fung berkata, kelonggaran terhadap penggunaan gelaran itu membuka ruang kepada individu tidak diiktiraf melabelkan diri sebagai doktor, sekali gus menyukarkan orang awam membezakan pengamal perubatan bertauliah dengan yang tidak layak."Isu ini timbul susulan penjelasan MMC bahawa penggunaan gelaran Dr dibenarkan dalam konteks akademik, namun tidak melayakkan individu terbabit menjalankan amalan perubatan," dakwanya. Sehubungan itu, Pemuda MCA menggesa MMC dan kerajaan membezakan secara jelas antara gelaran akademik dan status profesional doktor perubatan, selain menggubal peraturan lebih tegas bagi mengelakkan kekeliruan serta melindungi keselamatan awam, tambahnya. Terdahulu, Presiden MMC, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dalam kenyataan pada Selasa menjelaskan, penggunaan gelaran tersebut merangkumi graduan perubatan sebagai pengiktirafan kelayakan akademik, selain doktor pergigian, doktor veterinar serta pemegang ijazah Doktor Falsafah dalam pelbagai disiplin.Meskipun begitu, beliau menegaskan bahawa penggunaan gelaran doktor tidak boleh disalah tafsir sebagai kebenaran untuk mengamalkan perubatan di Malaysia.