Scholes dedah pemain 'paling teruk' pernah dibeli Manchester United

LEGENDA Manchester United, Paul Scholes tanpa berselindung melabelkan bekas penjaga gol, Mark Bosnich sebagai salah seorang pembelian paling buruk dalam sejarah kelab tersebut dan menyifatkan pemain kelahiran Australia itu sebagai sangat tidak profesional.Bosnich menyertai The Red Devils secara percuma dari Aston Villa pada Jun 1999 sebagai pengganti kepada Peter Schmeichel.Namun, kariernya di Old Trafford hanya bertahan selama 19 bulan sebelum beliau berpindah ke Chelsea pada Januari 2001 selepas ketibaan Fabian Barthez.Menerusi satu temu bual di saluran The Overlap, Scholes menolak cadangan bahawa Juan Sebastian Veron adalah pembelian terburuk United, sebaliknya menuding jari ke arah bahagian penjaga gol."Veron adalah pemain yang hebat dan berbakat. Saya kembali melihat kepada posisi penjaga gol apabila anda perlu menggantikan Peter Schmeichel, ia sentiasa sukar."Saya terfikir (Massimo) Taibi, dan Mark Bosnich. Saya fikir dia (Bosnich) penjaga gol yang bagus di Villa. Tetapi apabila dia datang kepada kami, dia sangat tidak profesional. Sejujurnya, ia tidak masuk akal."Dalam latihan tendangan, biasanya anda perlu lakukan 15 hingga 20 percubaan. Selepas tiga percubaan, dia sudah keletihan dan berkata, 'oh tidak, panggil orang lain masuk'," dedah Scholes.Bekas perancang tengah United yang memenangi 11 gelaran Liga Perdana Inggeris itu turut mengkritik kemahiran asas Bosnich dengan mendakwa penjaga gol itu tidak tahu menyepak bola."Saya tidak pernah sedar dia tidak boleh menyepak bola. Saya tidak pernah melihat perkara seperti itu. Kami bermain menentang Everton di tempat lawan dalam perlawanan pertama musim itu, dan sepakannya tidak sampai ke garisan tengah."Tiada angin, hari itu cuaca baik tetapi apabila anda melihat kakinya, saiz 14, sejujurnya dia hanya menyepak lantai sepanjang masa. Sungguh mengecewakan," tambah Scholes.Kenyataan Scholes itu selari dengan kritikan bekas pengurus, Sir Alex Ferguson dalam buku autobiografinya pada 2013 yang menyifatkan Bosnich sebagai profesional yang teruk.Ferguson turut mendedahkan bahawa beliau sebenarnya mahu menandatangani Edwin van der Sar, namun pengerusi kelab ketika itu, Martin Edwards telah bersalaman dan berjanji dengan Bosnich lebih awal.