Keputusan kes 1MDB Najib esok

PUTRAJAYA – Nasib sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan atau disabitkan kesalahan dalam empat kes rasuah dan 21 pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di sini dijangka membaca keputusan berkenaan pada jam 9 pagi.Ini merupakan kes jenayah terakhir dihadapi Najib, 72, yang masih di peringkat perbicaraan.Jika mahkamah mendapati barisan pembelaan Najib yang diketuai peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, bekas Presiden UMNO itu dibebaskan serta-merta.Bagaimanapun, sekiranya mahkamah mengambil pendekatan berbeza, hakim akan menjatuhi hukuman terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.Bagi empat kes rasuah, Najib yang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.Bagi 21 kes AMLA pula, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.Mahkamah akan menentukan sama ada hukuman penjara itu akan berjalan secara serentak atau berasingan bagi 25 pertuduhan.Walau apa sahaja keputusan kelak, pihak pendakwaan mahupun pembelaan masih boleh merayu terhadap keputusan berkenaan, di dua lagi peringkat iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.Seramai 50 saksi dipanggil dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan yang berlangsung selama 235 hari, berakhir pada 30 Mei 2024 lalu.Pada 6 Mei lalu, pembelaan menutup kes selepas selesai mendengar keterangan 26 saksi pembelaan yang mengambil masa selama 58 hari.Perbicaraan kes berprofil tinggi itu telah mengambil masa selama 303 hari termasuk 10 hari penghujahan di akhir kes pembelaan bermula 21 Oktober lalu.Saksi pendakwaan yang hadir dalam prosiding ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.Sementara saksi utama yang memberi keterangan di peringkat pembelaan ialah Najib sendiri termasuk bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adik kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.Pihak pendakwaan pada awalnya diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram, sebelum pemergiannya pada Januari 2023.Kes itu kemudiannya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.Bagi pembelaan, selain Muhammad Shafee, Najib turut diwakili peguam Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.Mengikut pertuduhan, bekas Presiden UMNO itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun dengan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.