Kanak-kanak hampir lemas di kolam MBSP

SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan hampir lemas dalam satu insiden di kolam kanak-kanak di Taman Tema, Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jalan Betek di sini pada petang Rabu.Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden melibatkan kolam kanak-kanak berkedalaman 90 sentimeter itu disedari kira-kira jam 5 petang.Menurut kenyataan tersebut, anggota penyelamat kolam yang sedang bertugas bertindak pantas mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan mengeluarkan mangsa dari kolam serta memberikan bantuan kecemasan termasuk pemulihan pernafasan (CPR)."Pada masa yang sama, bantuan daripada agensi keselamatan dan perkhidmatan perubatan telah dimohon dengan segera."Hasil tindakan awal itu, mangsa menunjukkan respons dan sedar semula sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Perda yang tiba di lokasi kira-kira jam 5.20 petang," katanya.Kata MBSP, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut."Aspek keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan pihak kami dengan anggota penyelamat kolam sentiasa ditempatkan di kawasan operasi sepanjang waktu dibuka."MBSP turut memastikan pematuhan SOP keselamatan serta tahap kesiapsiagaan anggota bertugas bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan. Kami prihatin dengan kejadian ini dan mendoakan agar mangsa berada dalam keadaan baik," ujarnya.Menurut kenyataan itu lagi, ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak, khususnya di kawasan air, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran media sosial rasmi MBSP.