Pekerja asing menyamar pelanggan, cuba lari ketika serbuan imigresen

KUALA LUMPUR – Tindakan menyamar sebagai pelanggan antara helah digunakan beberapa pekerja warga asing bagi mengelak ditahan ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah premis makanan di Jalan Raja Musa, Kampung Baru, di sini, pada Rabu.Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila anggota bertugas berjaya mengenal pasti pergerakan mencurigakan sebelum menahan kesemua individu terbabit dalam Ops Selera yang dijalankan sekitar jam 2.20 petang hingga 2.50 petang.Selain itu, terdapat juga beberapa pekerja warga asing yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pegawai imigresen, namun berjaya ditahan hasil kepantasan anggota bertugas.Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan selama seminggu ke atas sebuah premis yang disyaki menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah."Hasil pemeriksaan mendapati seramai empat lelaki warga asing berusia antara 30 hingga 40 tahun ditahan kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63."Mereka terdiri daripada seorang warga Indonesia, seorang warga Pakistan dan dua warga Bangladesh," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Katanya, siasatan awal mendapati kesemua warga asing terbabit telah bekerja di premis berkenaan kira-kira lima hingga enam bulan lalu."Semakan turut mendapati terdapat seorang warga tempatan dipercayai bertindak sebagai penyelia yang menguruskan pekerja terbabit."Individu tempatan itu turut diberikan Saman Kepada Saksi bagi membantu siasatan lanjut berkaitan penggajian pekerja asing tanpa kebenaran," katanya.Menurutnya, kes disiasat di bawah Peraturan 39(b), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63."Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang."Operasi dan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang melanggar undang-undang imigresen," katanya.