KANGAR - Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis perlu diisi semula sebagai kepentingan kestabilan kerajaan negeri dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan berkata, beliau akan menggunakan budi bicara yang diperuntukkan melalui proviso kepada Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis untuk memaklumkan secara bertulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Negeri adalah terjejas oleh sebab tiga kekosongan luar jangka itu."Saya akan meminta SPR mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi tiga kekosongan luar jangka tersebut," katanya dalam satu sidang media di Pejabat Speaker DUN di sini pada Khamis.Menurutnya, satu pemakluman diterima daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan bahawa Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang pada Rabu, 24 Disember 2025 telah membuat ketetapan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) dan (d) Perlembagaan Pas, bahawa tiga orang Ahli Badan Perundangan Pas yang berikut adalah terhenti serta-merta keahlian sebagai ahli Pas.Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim"Saya juga telah menerima notis bertulis berkenaan tiga kekosongan luar jangka di bawah Fasal (3) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, oleh seorang Ahli Dewan Negeri Perlis, iaitu ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun."Menjalankan kuasa-kuasa di bawah Fasal (3) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis yang tersebut, saya telah membuat semakan dan meneliti dengan sebaik-baiknya perkembangan yang berlaku berkaitan dengan tiga Ahli Dewan Negeri yang dimaksudkan, dan saya telah berpuas hati untuk memutuskan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka yang memenuhi kehendak Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji," katanya.Menurutnya, bagi tujuan itu, beliau akan memaklumkan secara rasmi kekosongan luar jangka bagi tiga DUN berkenaan kepada SPR dalam masa yang terdekat."Saya juga ambil maklum bahawa Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Negeri Perlis telah dijalankan pada 19 Disember 2022, justeru tempoh tiga tahun usia Dewan Negeri Perlis telah terakru pada 18 Disember 2025."Dalam keadaan biasa berdasarkan Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, tiada keperluan untuk diadakan pilihan raya bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut bila mana usia Dewan Negeri telah mencecah tiga tahun atau lebih."Namun pada hemat dan pertimbangan saya berdasarkan perkembangan semasa yang sedang berlaku dalam negeri Perlis, saya berpuas hati bahawa tiga kekosongan luar jangka tersebut dari segi bilangan yang membentuk majoriti semua adalah terjejas dan hendaklah diisi semula," katanya.Jelas beliau, alasan tentang terjejas bilangan parti yang membentuk majoriti Dewan Negeri Perlis akan diperincikan dalam makluman bertulis kepada SPR.Terdahulu, media tempatan melaporkan berlaku pergolakan dalam Perikatan Nasional (PN) Perlis apabila terdapat lapan ADUN negeri itu didakwa tidak lagi menyokong kepimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.Mereka didakwa telah menyerahkan SD berkenaan kepada pihak Istana Perlis pada Jumaat lalu.Menurut laporan tersebut, kumpulan ADUN terbabit didakwa melibatkan tiga ADUN Pas dan selebihnya daripada Bersatu.Sebagai rekod, Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, PN mencipta sejarah apabila memenangi 14 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi satu kerusi di DUN Indera Kayangan.