Bimbang naratif terancang hakis kuasa Raja-Raja Melayu - Pemuda UMNO Pekan

PEKAN – Pemuda UMNO Pekan menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan polemik berkaitan isu Titah Adendum yang dilihat berpotensi membentuk naratif berbahaya sehingga boleh menghakis peranan dan kuasa Raja-Raja Melayu secara terancang.Ketuanya, Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, polemik yang berlarutan itu bukan sekadar isu perbezaan pandangan politik, sebaliknya berisiko mencetuskan kekeliruan awam terhadap kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu yang dijamin Perlembagaan Persekutuan."Situasi menjadi lebih membimbangkan apabila isu berkenaan pada peringkat awal diperkecilkan dan dilabel sebagai khabar angin, sebelum kemudiannya dipolemikkan secara terbuka sehingga menimbulkan persoalan terhadap prosedur serta kewibawaan institusi berkaitan."Jika naratif sebegini dibiarkan, ia seolah-olah membuka ruang untuk mempersoalkan kuasa Raja-Raja Melayu secara beransur-ansur, sekali gus mengulangi episod gelap dalam sejarah perlembagaan negara," katanya pada Khamis.Beliau turut mengingatkan sejarah pernah menyaksikan krisis Perlembagaan yang memberi kesan besar terhadap kestabilan negara apabila peranan Institusi Raja-Raja Melayu cuba diperkecilkan.Tegasnya, sebarang wacana politik yang berpotensi membawa kepada penghakisan kuasa Raja-Raja Melayu adalah sesuatu yang amat berbahaya dan tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia yang menjunjung sistem Raja Berperlembagaan."Kita menggesa agar semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan, Institusi Raja-Raja Melayu serta mengutamakan kebijaksanaan berpolitik demi memastikan kestabilan negara terus terpelihara," katanya.Sebelum itu, beliau menzahirkan kekecewaan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin kanan DAP yang disifatkan tidak sensitif serta gagal menghormati semangat muafakat dalam Kerajaan Perpaduan.Ujarnya, sebagai rakan dalam kerajaan, semua pihak seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak mencetuskan ketegangan politik dan perlembagaan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.Terdahulu, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Yeo Bee Yin memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum untuk membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah."Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini," tulis Bee Yin dalam hantaran berkenaan.Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.