'Alang-alang bubar sekalilah PN, kita wujudkan semula MN' - Dr Akmal

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) dicadang bubar manakala Muafakat Nasional (MN) diwujudkan semula berikutan perkembangan politik di Perlis ketika ini. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, situasi di Perlis menggambarkan berlakunya dakwaan tikam belakang."Perlis oh Perlis! Dah beritahu sejak dulu lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk memperkasakan MN, bukan PN."Hari ini baru nampak belang masing-masing, kena tikam belakang."Alang-alang bubar sekalilah PN, kita wujudkan semula MN," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kedudukan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli didakwa semakin tertekan apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilaporkan tidak lagi menyokong kepimpinannya, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik di negeri tersebut.Mereka didakwa telah menyerahkan akuan sumpah (SD) kepada pihak Istana Perlis pada Jumaat lalu.Terbaharu, Pas memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani SD berkenaan.Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan, ketetapan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu pada Rabu.Menurut beliau, mesyuarat berkenaan membuat keputusan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025) bahawa keahlian tiga wakil rakyat terbabit terhenti serta-merta.Abdul Hadi menambah, parti tersebut akan memaklumkan keputusan tersebut secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perlis bagi memenuhi peruntukan Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022.Sebagai rekod, Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan pada PRU15 lalu, PN mencipta sejarah apabila memenangi 14 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi satu kerusi di DUN Indera Kayangan.